Rakyat Malaysia antara kes import positif Covid-19 di Singapura

Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan satu daripada empat kes import koronavirus (Covid-19) yang diumumkan di negara itu semalam membabitkan seorang lelaki warga Malaysia berusia 24 tahun. -Foto AFP
Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan satu daripada empat kes import koronavirus (Covid-19) yang diumumkan di negara itu semalam membabitkan seorang lelaki warga Malaysia berusia 24 tahun. -Foto AFP
A
A
A

SINGAPURA - Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan satu daripada empat kes import koronavirus (Covid-19) yang diumumkan di negara itu semalam membabitkan seorang lelaki warga Malaysia berusia 24 tahun.

Dilabel sebagai kes ke-58400, pemegang permit kerja yang tiba dari Malaysia itu dikenakan Notis Duduk Di Rumah (SHN).

Menurut data penuh yang dikeluarkan malam tadi, kementerian itu memaklumkan lelaki berkenaan dan tiga kes import yang lain tidak bergejala (asymptomatic) dan dikesan menerusi pengawasan dan saringan proaktif.

Setakat jam 12 tengah hari semalam, republik itu melaporkan lima kes baharu dengan satu kes penularan dalam komuniti, menjadikan jumlah kes kepada 58,195.

Kali terakhir Singapura melaporkan kes dalam komuniti ialah pada 10 November lalu.

Setakat ini, Singapura mengklasifikasikan 1,421 kes yang dilaporkan sebagai import, 2,272 kes dalam komuniti dan 54,502 melibatkan penghuni asrama.

Hampir 99 peratus atau 58,104 kes telah sembuh sepenuhnya manakala 43 kes masih dirawat di hospital dengan satu kes berada di unit rawatan rapi.

Sementara itu, 20 pesakit yang mempunyai gejala ringan atau secara klinikal sihat tetapi diuji positif Covid-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, 28 orang meninggal dunia daripada komplikasi akibat Covid-19 di republik itu dengan dua kematian pertama dilaporkan pada 21 Mac.

Singapura telah menamatkan kluster terakhir iaitu asrama pekerja asing pada 25 November lalu. - Bernama