Persatuan sukan kebangsaan tarik nafas lega

Norza Zakaria
Norza Zakaria
A
A
A

Beberapa persatuan sukan kebangsaan menarik nafas lega dan bersedia melaksana program dirancang, terutama bagi menghadapi kejohanan akan datang apabila Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat dasar, selepas dibahaskan di Dewan Rakyat semalam.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, fokus badan induk itu tahun depan adalah proses kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Sukan SEA ke-31 di Vietnam, serta proses pembangunan program badminton di peringkat akar umbi.

“Kita yakin program ‘Road to Tokyo’ akan diteruskan seperti biasa, selain tumpuan kita turut kepada Sukan SEA 2021 di Vietnam, serta memperkasa program pembangunan.

“Saya faham kerajaan lebih memberi tumpuan belanjawan kali ini kepada perancangan untuk membantu mereka yang terjejas susulan pandemik koronavirus (Covid-19), namun kerajaan juga tidak mengetepikan kepentingan industri sukan,” katanya ketika semalam.

Pada masa sama, beliau berkata BAM akan menunggu perbahasan kedua yang turut melibatkan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam masa terdekat, sebelum memperinci perancangan untuk menghadapi beberapa kejohanan penting tahun depan.

Berkongsi pandangan sama adalah Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya, yang mendedahkan badan induk itu akan memberi fokus kepada program pembangunan ragbi sedia ada, selain persediaan skuad kebangsaan menghadapi mana-mana kejohanan tahun hadapan.

“Kami akan teruskan program pembangunan dan bekerjasama erat dengan KBS, MSN, ISN (Institut Sukan Negara) serta KPM (Kementerian Pendidikan) dan KPT (Kementerian Pengajian Tinggi), serta rakan kongsi swasta bagi mencapai matlamat ditetapkan,” katanya.

Nada sama turut disuarakan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abdul Wahab yang menegaskan fokus badan induk itu adalah persediaan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 serta Sukan SEA 2021, menerusi peruntukan bakal diterima daripada Belanjawan 2021.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan PKBM akan menggunakan sebahagian daripada peruntukan yang bakal diterima untuk terus memperkasa acara berbasikal trek, yang sentiasa menghadirkan kejayaan cemerlang untuk negara di pentas antarabangsa.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada 7 November lalu, mengumumkan empat sukan berprestasi tinggi iaitu ragbi, badminton, hoki dan berbasikal, bakal mendapat peruntukan berjumlah RM55 juta.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) itu akan dibahas pada peringkat jawatankuasa selama 11 hari mulai Isnin (30 November). - Bernama