Selangor ada tonik ampuh harungi Liga-M

Ashmawi (kiri) mengidamkan kejuaraan bersama Selangor musim depan.
Ashmawi (kiri) mengidamkan kejuaraan bersama Selangor musim depan.
A
A
A

PERTAHANAN serba boleh yang semakin meningkat naik di Selangor, Mohd Ashmawi Yakin percaya pengendali baharu pasukan itu, Karsten Nitzel akan membawa pembaharuan dalam skuad Gergasi Merah itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Menurutnya, sentuhan pengendali Jerman itu akan memberikan tonik ampuh kepada pasukan untuk mengecapi kejuaraan yang diidamkan semua pemain dan peminat setia gergasi Lembah Klang itu.

“Dalam dunia bola sepak, lumrah bagi setiap pemain datang dan pergi untuk sesebuah pasukan dan Alhamdulillah rezeki untuk musim 2021 masih dengan pasukan Selangor. Jadi saya ucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan dan jurulatih kerana masih percaya dengan khidmat saya.

“Neitzel masih baru lagi berada di Malaysia dan jika rezeki dapat membawa satu piala, saya pasti bersyukur kerana telah lama bersama pasukan.

“Jika tidak, saya harap Selangor mampu buktikan yang terbaik berbanding musim-musim sebelum ini kerana kami di Selangor amat dahagakan kejayaan,” katanya.

Ashmawi yang berasal Seremban adalah produk skuad Harimau Muda dan pernah menjadi anggota skuad Bawah 19 dan 23 tahun serta memulakan karier profesional pertamanya di Negeri Sembilan pada 2016.

Dia menyertai Selangor pada 2018 ketika di bawah kendalian Nazliazmi Nasir dan boleh beraksi di posisi pertahanan kiri serta kanan.

Dalam pada itu, Ashmawi mengakui dia selesa diletakkan sama ada di mana-mana posisi pertahanan sama ada kiri, kanan atau tengah walaupun pada awal penglibatannya dengan bola sepak, dia banyak beraksi selaku pemain pertahanan tengah.

Artikel Berkaitan:

“Pada saya mana-mana posisi pun tidak menjadi masalah kerana saya selesa main di ketiga-tiga tempat dan akan sentiasa cuba sedaya-upaya untuk berikan yang terbaik kepada pasukan,” katanya.