X

Kindly register in order to view this article
!

Musim tengkujuh lubuk rezeki ikan darat

Daud memanfaatkan kemahiran menggunakan jala untuk menangkap ikan di tali air di Kampung Gong Baru, Kuala Terengganu.
A
A

KUALA TERENGGANU - Musim tengkujuh melanda negeri ini sejak minggu lalu bagaikan rezeki buat penduduk sekitar Kampung Gong Baru di sini apabila memperoleh pelbagai jenis ikan darat hasil tangkapan di kawasan tali air di kampung tersebut.

Seorang penduduk, Daud Ismail, 60 berkata, ramai penduduk di kawasan kampung itu memanfaatkan peluang yang ada untuk mencari ikan darat seperti keli, haruan, puyu, sepat, tilapia dan patin yang memasuki kawasan itu selepas air naik.

Menurutnya, dia turut tidak ketinggalan menangkap ikan menggunakan jala dihasilkan sendiri.

“Ramai yang cari ikan darat di sini lebih-lebih lagi musim tengkujuh sebab ada banyak ikan dari kawasan lain termasuk kawasan paya masuk ke sini.

“Saya sudah biasa tangkap ikan di sini. Biasanya saya dapat ikan sepat, puyu, tilapia dan keli. Jarang-jarang sekali dapat ikan haruan dan patin.

“Sebelum ini saya pernah tangkap ikan guna alatan digelar serkap yang dibuat menggunakan buluh dan kayu, tetapi sekarang saya lebih banyak pakai jala sebab sudah tidak ramai yang mahir hasilkan serkap,” katanya ketika ditemui di Kampung Gong Baru di sini semalam.

Daud menunjukkan ikan puyu dianggarkan seberat 100 gram yang diperoleh di tali air Kampung Gong Baru, Kuala Terengganu.
Daud menunjukkan ikan puyu dianggarkan seberat 100 gram yang diperoleh di tali air Kampung Gong Baru, Kuala Terengganu.

Katanya, hasil tangkapan bergantung kepada rezeki, ada ‘hari baik’ dia pernah membawa pulang hampir 40 ekor ikan dan ada ketika dia mendapat sekitar 5 hingga 6 kilogram ikan.

Daud berkata, dia mula keluar rumah untuk menangkap ikan sekitar jam 8 pagi dan akan pulang ke rumah setelah memperoleh hasil tangkapan.

“Sudah menjadi tradisi penduduk kampung yang mencari ikan di sini berkongsi dan sama-sama mengagihkan rezeki yang diperoleh tanpa mengenakan sebarang bayaran.

“Saya tangkap ikan untuk makan sendiri. Kalau ada orang tanya nak beli ikan, saya beri sahaja, kalau ada yang beri duit saya terima. Mana-mana pun boleh,” katanya.

Menurutnya, selain goreng, kebanyakan penduduk di kampung itu memasak ikan darat menggunakan resipi gulai rempah daun kesum.

“Biasanya ikan darat kita masak gulai rempah daun kesum. Menu ini memang sedap dan syarat utama kena masukkan daun kesum untuk hilangkan rasa hanyir ikan.

“Selain itu, ada cara lain untuk hilangkan rasa hanyir ikan iaitu menggunakan daun kari ketika mencuci ikan selepas disiang,” katanya.

Sebahagian hasil tangkapan ikan darat yang diperoleh di tali air di Kampung Gong Baru, Kuala Terengganu.
Sebahagian hasil tangkapan ikan darat yang diperoleh di tali air di Kampung Gong Baru, Kuala Terengganu.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Gong Baru, Mohd Hanafiah Ismail berkata, walaupun kawasan itu menjadi tumpuan pada musim tengkujuh, faktor keselamatan tetap diutamakan.

“Kita sentiasa memantau dan mengingatkan orang ramai yang datang ke kawasan ini untuk tidak mengabaikan faktor keselamatan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Selain faktor keselamatan di kawasan air, kita juga menitikberatkan masalah kesihatan iaitu mengutamakan penjarakan fizikal, lebih-lebih lagi dalam keadaan negara yang masih belum bebas sepenuhnya daripada pandemik koronavirus (Covid-19),” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!