Sukan perlu aksi kompetitif

Christopher Raj
Christopher Raj
A
A
A

SUDAH tiba masanya untuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan sukan lain berbincang untuk mengadakan pertandingan dan aksi kompetitif walaupun negara masih dilanda pandemik koronavirus (Covid-19).

Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Christopher Raj berkata, industri sukan perlu bergerak ke hadapan dengan mengambil contoh negara-negara lain yang telah mula menghidupkan kembali industri sukan mereka.

“Sampai bila atlet hanya sekadar menjalani latihan sesama sendiri tanpa perlu beraksi dengan lebih kompetitif. Mahu tak mahu, kita perlu terima hakikat bahawa Covid-19 berada di dalam komuniti. Kita cuma perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan amalkan kebersihan diri.

“Sampai bila kita mahu berada di dalam ‘denial situation’. Jumlah kes yang menular ketika ini memang nampak membimbangkan tetapi jumlah tersebut disumbang oleh mereka yang tidak patuh kepada SOP.

“Berbeza dengan industri sukan. Mereka berada di dalam gelembung sukan mereka sendiri. Mereka dikuarantin, mereka menjalani ujian saringan, dan mereka dikehendaki untuk mematuhi SOP yang ketat,” katanya dalam satu kenyataan,semalam.

Menurutnya, industri sukan melibatkan banyak pihak bukan sekadar soal kerjaya dan masa depan seseorang atlet.

“Ia sebenarnya melibatkan seluruh rakyat Malaysia yang bergantung harap kepada industri sukan seperti pengusaha padang bola, futsal, badminton, hoki, ragbi dan lain-lain termasuk para peniaga makanan dan pakaian yang sering memeriahkan suasana di stadium dan gelanggang sukan.

“Nilai sumbangan industri sukan kepada KDNK negara pernah mencecah RM101 juta pada 2018 bersamaan tujuh peratus daripada KDNK. Apakah itu bukan nilai yang cukup besar?

Artikel Berkaitan:

“Percayalah, industri sukan sangat-sangat dekat di hati rakyat. Ramai yang menyara kehidupan mereka melalui sukan. Ramai yang menjadikan sukan sebahagian daripada gaya hidup mereka,” katanya.

Katanya, sesuatu perlu dilakukan oleh pihak berwajib dalam usaha memastikan industri sukan mampu kembali digerakkan di negara ini.

“Badminton Terbuka Malaysia 2021, Badminton Malaysia Masters 2021 dan pelbagai kejohanan yang boleh menyumbang mata ranking untuk atlit layak ke Sukan Olimpik Tokyo wajar diadakan.

“Kejohanan sukan lain seperti bola sepak, hoki, sepak takraw, permotoran, ragbi, berbasikal perlu diadakan dengan norma baharu tanpa melupakan pertandingan peringkat majlis sukan,” katanya.