MU sasaran penyangak siber

Ramai pihak terutama pelabur dan peminat kelab berkenaan cemas apabila mengetahui sistem keselamatan The Red Devils diserang dipercayai penyangak China atau Russia. - Foto BBC
Ramai pihak terutama pelabur dan peminat kelab berkenaan cemas apabila mengetahui sistem keselamatan The Red Devils diserang dipercayai penyangak China atau Russia. - Foto BBC
A
A
A

SEPANJANG minggu ini cerita kelab terkemuka Britain, Manchester United diserang penyangak siber menguasai berita di seantero dunia.

Ramai pihak terutama pelabur dan peminat kelab berkenaan cemas apabila mengetahui sistem keselamatan The Red Devils diserang dipercayai penyangak China atau Russia.

Pelabur dan peminat kelab tersebut yang dianggar bernilai lebih RM16.38 bilion oleh Forbes cemas kerana bimbang data peribadi mereka terdedah kepada kecurian identiti atau maklumat membawa kepada kerugian kewangan.

Pendedahan tentang serangan siber yang sangat canggih itu disahkan beberapa pakar teknologi maklumat (IT) Britain menjelang pertemuan menentang West Bromwich Albion (WBA) minggu lalu.

Belum reda dengan berita serangan sistem keselamatan siber ke atas Manchester United, timbul pula cerita empat atlet wanita terkemuka Britain dipercayai bergambar tanpa berpakaian.

Ia berlaku angkara penyangak siber Russia atau China dan dipercayai lebih 100 gambar peribadi empat atlet wanita berkenaan dicuri daripada telefon bimbit menerusi godaman iCloud.

Penulis percaya antara sebab utama berlaku sistem keselamatan siber Manchester United diserang disebabkan cemburu kerana kejayaan The Red Devils dan kecurian data dan maklumat pelanggan yang boleh dimanipulasi demi keuntungan. Data yang hilang boleh dimanipulasi untuk tujuan tertentu.

Sebuah organisasi penyedia sistem keselamatan siber terkenal, IT Governance (ITG) yang memiliki akaun syarikat gergasi dunia seperti Volkswagen, Airbus, Barclays, Intel, HSBC dan Polaris di Britain menyatakan sistem keselamatan siber ini perlu sentiasa diutamakan.

Artikel Berkaitan:

ITG melaporkan bilangan pelanggaran data dan serangan siber pada Oktober 2020 menurun sebanyak 93 peratus iaitu 18 juta rekod berbanding 267 juta, pada bulan sebelumnya.

Pusat Keselamatan Siber Nasional Amerika Syarikat (NCSC) baru-baru ini mendedahkan tindakan mengakses dan membocorkan data peribadi orang lain ialah perlakuan tercela.

NCSC mencadangkan orang ramai mengambil langkah serius dengan mengaplikasi sistem pengesahan dua faktor berlapis melalui kata laluan kuat. Ia harus mempunyai tiga kata rawak.

Pentingnya kerahsiaan dalam Islam dinyatakan ALLAH SWT menerusi al-Quran Surah An-Nisaa' ayat 107-108 bermaksud, “Dan janganlah kamu berdebat (untuk membela) orang-orang yang mengkhianati dirinya. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang-orang yang selalu berkhianat lagi bergelumang dosa mereka bersembunyi daripada manusia, tetapi mereka tidak bersembunyi daripada ALLAH, sedangkan ALLAH beserta mereka, ketika pada suatu malam mereka menetapkan keputusan rahsia yang ALLAH tidak redai. Dan adalah ALLAH Maha Meliputi (ilmu-Nya) terhadap apa yang mereka kerjakan.”

Kerugian

Penulis juga memandang serius laporan Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) betapa China antara pesalah siber terbesar sejak tahun 2006.

Laporan berkenaan menyebut China terlibat lebih 108 insiden siber dengan kerugian lebih AS$108 juta (RM422.10 juta) antara 2006 dan 2018.

Baru-baru ini, CSIS mengeluarkan laporan bertajuk Significant Cyber Incidents yang memfokuskan kepada serangan siber setiap bulan terhadap agensi kerajaan, pertahanan dan syarikat teknologi tinggi atau kejahatan ekonomi dengan jumlah kerugian.

Bulan lalu sahaja berlaku beberapa insiden serangan siber dipercayai dilakukan China antaranya China dituduh menyasar pangkalan industri pertahanan Amerika dengan kebocoran maklumat daripada program Prism National Security Agency (NSA).

Penggodam China juga dipercayai menjadi perancang serangan keselamatan siber di Rusia, India, Ukraine, Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Malaysia.

Kumpulan berkenaan menyasar entiti diplomatik dan NGO di Afrika, Asia dan Eropah menggunakan malware canggih diadaptasi daripada kod kebocoran vendor alat penggodam Itali HackingTeam.

Kesimpulannya, Malaysia perlu membangun dan melahirkan kumpulan jurutera pengkomputeran serta pakar IT yang setia kepada negara dan bangsa bagi menjaga kerahsiaan negara daripada bocor.

* Profesor Madya Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor