Belanjawan 2021: Dipinda dan lulus untuk rakyat

Reaksi ahli-ahli Parlimen selepas ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) perbekalan 2021 peringkat dasar pada mesyuarat ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Reaksi ahli-ahli Parlimen selepas ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) perbekalan 2021 peringkat dasar pada mesyuarat ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kelulusan Belanjawan 2021 pada persidangan Dewan Rakyat hari ini selepas melalui tempoh tegang ketika perbahasan, memberikan keyakinan bahawa kepentingan rakyat dan negara terutama dalam meningkatkan keupayaan kewangan rakyat pada waktu sukar dalam mendepani cabaran pandemik koronavirus (Covid-19) terus dibela.

Walaupun terdapat cubaan menolak belanjawan dengan peruntukan RM322.5 bilion itu, akhirnya majoriti ahli Parlimen meluluskan belanjawan itu di peringkat dasar.

Penganalisis ekonomi turut menyifatkan penambahbaikan yang diumumkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz khususnya membabitkan moratorium pinjaman bank, pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bantuan langsung yang diperluaskan amat diperlukan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan wajar mendapat sokongan.

Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr Anuar Bali Mohamed berkata, kelulusan Belanjawan 2021 ini akan membolehkan kerajaan memberi fokus dalam memberi bantuan kepada rakyat terutama dalam aspek peluang pekerjaan.

Isu pengangguran merupakan isu paling menekan rakyat ketika ini terutama dengan kelembapan ekonomi berikutan pandemik Covid-19 yang telah menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan.

Menurut rekod Sistem Insurans Pekerjaan (EIS), sejumlah 95,995 individu diberhentikan kerja sejak Januari hingga 13 November 2020 dan kadar pengangguran rasmi pada September adalah 4.6 peratus yang bermaksud terdapat 737,500 orang yang tidak bekerja.

“Dengan kelulusan belanjawan ini, kerajaan dapat menyalurkan bantuan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk bernafas bagi meneruskan operasi kerana mereka (PKS) membuka 66 peratus peluang pekerjaan,” katanya kepada Bernama.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Belanjawan 2021 dengan sokongan undi majoriti ahli Parlimen di peringkat dasar selepas Menteri Kewangan melakukan beberapa pindaan berdasarkan saranan ahli Parlimen yang membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 yang dibentangkan 6 November lepas.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, terdapat ura-ura Belanjawan 2021 berdepan laluan sukar untuk diluluskan ekoran sokongan bersyarat ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang yang antara lain menuntut pelanjutan moratorium automatik selama enam bulan, menuntut pengeluaran sekali gus RM10,000 daripada akaun satu KWSP dan mempertikaikan cadangan mewujudkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) membabitkan peruntukan RM85.5 juta.

Anuar berkata, melalui belanjawan yang diluluskan ini juga dapat mencipta lebih banyak peluang pekerjaan melalui Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) yang memperuntukkan sebanyak RM3.7 bilion untuk 500,000 peluang pekerjaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Usul Belanjawan 2021 diluluskan

Tun M kritik pembangkang tidak bangun sokong undi belah bahagi

Menurut Anuar lagi, melalui belanjawan terbesar dalam sejarah negara ini juga akan dapat memperkasakan agenda bumiputera apabila kerajaan memberi peruntukan sebanyak RM11.1 bilion bagi pembangunan ekonomi Bumiputera, meningkat RM3.1 bilion atau 28 peratus berbanding tahun lepas.

Selain itu, kadar indeks kemiskinan kaum Bumiputera juga lebih tinggi berbanding kaum lain iaitu Bumiputera 7.2 peratus, Cina 1.4 peratus dan India 4.8 peratus.

Dalam ucapan penggulungannya hari ini, Tengku Zafrul mengumumkan pengeluaran i-Sinar KWSP akan diperluaskan daripada dua juta kepada lapan juta pencarum KWSP yang terjejas akibat Covid-19 dan meningkatkan had pengeluaran kepada RM10,000 (bagi individu yang mempunyai simpanan RM90,000 dalam akaun 1 KWSP).

Menteri Kewangan juga turut mengumumkan bantuan secara sekali beri kepada semua petugas barisan hadapan (polis, tentera, Rela dan lain-lain) sebanyak RM300 yang sebelum ini hanya diberikan kepada petugas kesihatan (bantuan sekali beri RM500).

Bagi penganalisis ekonomi Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, belanjawan yang diluluskan hari ini akan membantu meningkatkan kecairan dalam pasaran melalui bantuan kewangan secara langsung atau tidak langsung kepada kelompok terjejas.

Katanya, kemudahan pengeluaran simpanan akaun satu KWSP yang diperluaskan kepada lapan juta pencarum yang terjejas akibat Covid-19 dan peluasan kemudahan moratorium kepada kelompok M40 adalah bantuan tidak langsung kepada pihak memerlukan.

“Saya lihat penambahbaikan yang diumumkan dalam belanjawan ini adalah baik dari segi meningkatkan kecairan dalam pasaran melalui bantuan kewangan secara langsung dan tidak langsung, misalnya, kemudahan moratorium walaupun tidak diberi secara pukal selama enam bulan tetapi ia diperluaskan kepada semua kelompok secara bersasar.

“Kalau dulu moratorium hanya kepada B40 dan mikro, sekarang ia diperluaskan kepada kelompok M40 dan T20 yang layak. Begitu juga kemudahan pengeluaran simpanan akaun satu KWSP kepada lapan juta pencarum adalah bantuan secara tidak langsung kepada rakyat,” katanya.

Apa yang boleh disimpulkan, Belanjawan 2021 yang diluluskan secara dasarnya hari ini memperlihatkan kematangan politik negara dalam memberi keutamaan kepada agenda kesejahteraan rakyat dan negara.

Rakyat pastinya menarik nafas lega kerana ahli politik kembali kepada asas hakiki peranan mereka dalam memastikan kestabilan negara yang sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19. - Bernama