X

Kindly register in order to view this article
!

JSJN, JSJ tempatkan aset, anggota di sempadan Malaysia-Thailand

Unit berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) kelihatan memulakan tugasan bagi membantu operasi ronda mencegah penyeludupan sempadan negara bermula hari ini. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah menempatkan aset dan anggota tambahan masing-masing di sempadan Malaysia-Thailand bagi memperkukuhkan kawalan sempadan negara.

Tanpa mendedahkan aset dan jumlah keanggotaan terbabit, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, jabatan itu menempatkan asetnya sejak insiden seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut ditembak pada Selasa lalu.

Beliau berkata JSJN Bukit Aman dikerah ke lokasi kejadian bagi membantu penugasan anggota PGA di sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar di Perlis.

“Kami tidak akan mendedahkan aset yang terlibat kerana menjaga kerahsiaan operasi. Selain itu, JSJN juga ada menjalinkan kerjasama dan bertukar maklumat risikan bersama Polis Diraja Thailand bagi mengekang penyeludupan dadah di kawasan sempadan negara,” katanya.

Senada dengan Razarudin ialah Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed yang berkata pasukan operasi JSJ sememangnya sudah ditempatkan di kawasan itu bagi menjalankan siasatan susulan.

“JSJ memang telah ditugaskan di tempat kejadian dan akan membuat siasatan lengkap berhubung kes berkenaan,” katanya.

Media semalam melaporkan bahawa seorang anggota PGA cedera ringan selepas terkena tembakan ketika menjalankan rondaan bersama-sama rakan setugasnya di sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah pada kira-kira 6.15 petang.

Ekoran itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, PGA yang ditugaskan mengawal sempadan Malaysia -Thailand akan menukar strategi serta sistem rondaan di kawasan terbabit untuk mengekang sebarang kegiatan penyeludupan.

Perubahan strategi itu perlu kerana sejak kebelakangan ini, sering berlaku kejadian tembakan sehingga mencederakan anggota pasukan berkenaan.

Selain itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ATM berusaha memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan persempadanan melalui kekerapan rondaan selain penggunaan aset seperti dron bagi mengesan sebarang pergerakan di sempadan negara.

Dalam kejadian pertama pada awal pagi Selasa lalu, anggota PGA Sarjan Baharuddin Ramli, 54, maut manakala Sarjan Norihan a/l Tari, 39, parah dalam kejadian berbalas tembakan dengan penyeludup di Pos TS9 berdekatan Padang Besar, Perlis. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!