Belanjawan 2021 diluluskan beri prospek kepada pemulihan ekonomi

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua, kiri) menerima ucapan tahniah daripada Menteri-Menteri Kabinet. -Foto Bernama
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua, kiri) menerima ucapan tahniah daripada Menteri-Menteri Kabinet. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kelulusan Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion selepas melalui perdebatan yang hangat daripada parti blok kerajaan dan pembangkang dapat menyuntik keyakinan selain bertepatan dengan usaha negara ke arah pemulihan ekonomi berikutan cabaran akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

“Ia akan dapat memberi keyakinan bukan hanya dalam kalangan pelabur domestik tetapi juga pelabur asing,” kata Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Tan Sri Dr Kamal Salih.

Kelulusan itu amat penting dalam memastikan pertumbuhan negara yang dilihat pulih daripada penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang rendah sebanyak 17.1 peratus pada suku kedua tahun ini kepada -2.7 peratus pada suku ketiga 2020, katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan di peringkat dasar pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Belanjawan, yang pertama dibentang di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Bagaimanapun, katanya ia akan menjadi tugas berat untuk memastikan perubahan yang besar dalam kadar pertumbuhan.

Kamal berkata dalam memastikan perubahan yang besar sebanyak 11.5 peratus daripada -5.5 peratus diunjurkan pada 2020 kepada 6.0 peratus unjuran oleh MIER, kerajaan perlu mengambil langkah-langkah tambahan selain daripada inisiatif yang digariskan dalam belanjawan.

Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan kadar pertumbuhan sebanyak 6.5 hingga 7.5 peratus pada 2021.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata MIER telah menggesa kepada lebih banyak pelaburan baharu atau suntikan baharu dalam bentuk wang atau dana untuk membiayai projek infrastruktur yang akan memberi kesan berganda kepada negara dan ekonomi.

Katanya ini termasuk membina lebih banyak rumah mampu milik yang akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menjana pendapatan boleh guna yang lebih baik untuk orang ramai supaya mereka dapat berbelanja lebih.

“Kerajaan juga perlu memberi tumpuan kepada isu-isu seperti kenaikan harga makanan dan keselamatan makanan, selain isu berkaitan teknologi yang berkait rapat dengan pelaburan asing,” katanya.

Dalam pada itu, Kamal berkata, beliau yakin kelulusan Belanjawan 2021 akan memberi laluan kepada Malaysia untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi seperti yang digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), tetapi dengan syarat kerajaan melaksanakan pembaharuan struktur dan langkah-langkah yang luar biasa.

Pembaharuan struktur itu termasuklah mengkaji sistem cukai dan kemungkinan melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang tidak popular, katanya.

Maybank Investment Bank Research baru-baru ini berkata Kementerian Kewangan telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji pelbagai langkah untuk melonjakkan pendapatan, termasuk kemungkinan memperkenalkansemula GST.

Dalam nota penyelidikan yang dikeluarkan pada Isnin susulan dialog dengan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz yang diadakan Jumaat lepas, ia memetik Tengku Zafrul sebagai berkata langkah-langkah lain termasuk menganalisis kelemahan regim cukai dan kesan percukaian baharu ke atas ekonomi.

Kementerian itu juga dikatakan sedang mengkaji pilihan untuk cukai-cukai baharu sepert cukai karbon dan cukai digital, merasionalisasikan insentif cukai, meningkatkan pentadbiran cukai dan audit cukai seperti memperkenalkan angka pengenalan dan menambahbaik analitik data.

“Langkah luar biasa seperti ini perlu dilakukan untuk keluar daripada kekacauan ekonomi dan politik pada masa ini,” kata Kamal.

Beliau berkata untuk mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi, Malaysia perlu ditadbir oleh kerajaan yang sangat stabil dan berwawasan.

“Ia memerlukan kerajaan yang sangat stabil dengan wawasan, kemampuan yang jelas dan akan melakukan perkara yang tidak popular, bukan yang biasa, bagi memerangi situasi Covid-19 pada masa ini,” kata beliau.

Kamal berkata beliau berharap kerajaan dapat terus memberi keutamaan kepada isu-isu berkaitan pengangguran, langkah-langkah untuk membantu pemulihan perniagaan serta memastikan pemulihan jangka panjang berjalan lancar.

Sementara itu, Pengerusi Pusat ASLI bagi Kajian Dasar Awam Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, walaupun Belanjawan 2021 telah melepasi peringkat dasar, dasar seperti Dasar Ekonomi Baharu (NEP) perlu diubahsuai bagi menarik lebih banyak pelaburan asing dan domestik.

Beliau menggesa agar sektor swasta memainkan peranan yang lebih penting semasa krisis Covid-19 ini.

“Sektor-sektor seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, pengangkutan dan infrastruktur boleh dibiayai oleh sektor swasta, sama seperti jalan bertol,” katanya. - Bernama