Kluster Gemilang: 95 pekerja syarikat logistik disaring

R Vidyananthan
R Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menasihatkan mana-mana syarikat yang berurusan dengan sebuah syarikat logistik di Tebrau di sini supaya melakukan ujian saringan koronavirus (Covid-19).

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, proses itu perlu dilakukan terhadap pekerja mereka kerana Kluster Gemilang iaitu kluster terbaharu di negeri ini dikesan daripada syarikat logistik terbabit.

"Pihak jabatan kesihatan masih lagi menjalankan siasatan lanjut untuk memastikan pengesanan kontak-kontak kerana syarikat terbabit mempunyai hubung kait dengan pelbagai industri di daerah ini.

"JKNJ ingin menasihati agar mereka yang terbabit melaksanakan saringan Covid-19 bagi pekerja mereka sebagai satu prosedur pencegahan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, susulan bilangan kes yang tinggi, JKNJ menjalankan pensampelan ujian saringan ke atas pekerja syarikat tersebut termasuk pemandu dan kelindan lori pada hari ini.

Beliau berkata, pekerja yang terbabit telah diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) bagi mengawal pergerakan.

Beliau berkata, kes indeks bagi kluster tersebut adalah daripada seorang pekerja syarikat logistik itu yang didapati positif Ahad lalu hasil saringan kemasukan di hospital swasta selepas bergejala susah nafas.

Susulan itu katanya, hasil saringan kontak rapat mendapati 25 rakan sekerjanya dikesan positif Covid-19 dan kesemua kes tersebut dimasukkan ke Hospital untuk rawatan lanjut dan isolasi.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 95 kontak rapat telah disaring, di mana 26 kes positif setakat ini. Mereka terdiri daripada 19 bukan warganegara dan tujuh warganegara Malaysia. Seramai 65 individu masih lagi menunggu keputusan," katanya.