X

Kindly register in order to view this article
!

Cedera terkena tembakan, anggota PGA tidak kecewa tetapi geram

Ketua Platun 5 Insp Muhammad Adlizan Admancur menunjukkan tempat kejadian seorang anggota PGA ditembak ketika membuat rondaan di Sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam hari ini. - Foto Bernama
A
A

BUKIT KAYU HITAM - "Saya langsung tidak kecewa (terkena tembakan), tapi berasa sangat geram!," luah Lans Koperal Muhammad Amirul Amir, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang cedera terkena tembakan ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand, dekat sini petang semalam.

Anggota berusia 26 tahun berasal dari Kota Tinggi, Johor yang cedera ringan di bahagian perut akibat terkena peluru 'ball bearing' itu berkata, semasa kejadian beliau langsung tidak berasa panik dan segera ke pos kawalan terdekat untuk mendapatkan bantuan.

"Sebelum kejadian saya sedang melakukan rondaan dengan motosikal, tiba-tiba rasa pedih di perut, mula tu saya ingat kena sengat serangga berbisa.

"Tapi bila selak jaket kalis peluru, ada peluru ball bearing terselit dan spontan saya berpaling ke arah sempadan negara jiran dan nampak kelibat seorang individu berpakaian gelap," katanya ketika ditemui di pos kawalan M16 di sini hari ini.

Selepas mendapatkan bantuan rakan sepasukan dan kembali ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dari pos kawalan itu, kelibat individu berkenaan sudah tidak kelihatan.

"Masa tu rasa geram sungguh sebab dia buat macam tu dari dalam negara dia, kalau dia masuk ke negara kita ada la tindakan boleh ambil," katanya yang telah berkhidmat sebagai anggota PGA hampir lapan tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Serangan penyeludup: PDRM atur gerak aset, anggota ke sempadan

Muhammad Amirul berkata, kejadian yang menimpanya itu langsung tidak melemahkan semangatnya untuk menjaga keselamatan negara dan terus menyambung tugas di pos kawalan tersebut seperti biasa.

"Semangat rasa lebih kuat lagi dan kawan-kawan pun banyak bagi sokongan dan nasihatkan agar lebih berhati-hati dan tidak sesekali terleka atau cuai ketika bertugas," katanya.

Bapa kepada seorang anak lelaki berusia tiga tahun itu berkata, tugas sebagai anggota keselamatan akan terus digalas dengan bangga dan akan sentiasa memastikan tahap kesiapsiagaannya berada pada tahap optimum.

Dalam kejadian pada jam 6.15 petang semalam, Muhammad Amirul mengalami kecederaan ringan di bahagian perut selepas terkena tembakan senapang angin yang dilepaskan dari kawasan negara jiran.

Sebelum ini, Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan dilaporkan berkata, polis tidak menolak kemungkinan suspek yang melepaskan tembakan itu adalah penyeludup memandangkan lokasi kejadian adalah antara laluan kegiatan jenayah itu. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!