Lantai reput, rumah hampir roboh

Siti Sarah dan Mohd Zulkhainain bersama tiga anak mereka, Mohd Hafiz Danial,11, (kiri) Mohd Shakir Darwish, 6, dan Mohd Dafi duduk di luar rumah pusaka yang menjadi tempat tinggal mereka di tepi tali air Kampung Cherang, Tanjung Mas, Kota Bharu.

A
A
A

KOTA BHARU - Lima sekeluarga hidup dalam kebimbangan dengan keadaan lantai reput di sebuah rumah pusaka yang hampir roboh terletak di tepi tali air Kampung Cherang, Tanjung Mas di sini.

Keadaan dilalui pasangan suami isteri, Siti Sarah Hazmi, 32 dan Mohd Zulkhainain Razak, 31, bersama tiga anak mereka berusia dua hingga 11 tahun dikhuatiri mampu mengundang kejadian tidak diingini lebih-lebih ketika musim tengkujuh ketika ini.

Siti Sarah berkata, anak bongsunya, Mohd Dafi Zafril sudah berkali-kali terjerlus ke lubang lantai dan kakinya tersepit sehingga menangis kesakitan.

Lantai rumah di bahagian dapur mengeluarkan bunyi apabila dipijak dan bila-bila masa sahaja boleh runtuh.
Lantai rumah di bahagian dapur mengeluarkan bunyi apabila dipijak dan bila-bila masa sahaja boleh runtuh.

“Cuma tidak sampai patah, hanya lebam dan lelasan di bahagian kulit betis yang bergesel dengan kayu.

“Saya sendiri pun pernah jatuh ketika sedang memasak sehingga mengalami sakit-sakit badan, tetapi saya dah biasa dan lali.

"Cuma saya kesian kepada anak-anak kerana mereka masih kecil dan tidak faham dengan kesusahan kami,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Ketua Sri Kandi Bahagian Kota Bharu merangkap Ketua Unit Biro Kebajikan Wanita dan Masyarakat, Bersatu Kelantan, Rozainiee Nawawi.

Hadir sama, Pengurus Operasi Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan, Zurawati Zulkifli.

Menurutnya, rumah pusaka yang didiaminya sekeluarga itu hanya mempunyai satu bilik manakala bahagian tengah rumah dan tandas hampir terpisah kerana struktur tiangnya yang sudah senget.

Siti Sarah (kanan) membantu mengeluarkan kaki anak bongsunya, Mohd Dafi Zafril Mohd Zulkhainain, 2, yang tersepit pada lubang antara bahagian rumah dan tandas yang hampir terpisah.
Siti Sarah (kanan) membantu mengeluarkan kaki anak bongsunya, Mohd Dafi Zafril Mohd Zulkhainain, 2, yang tersepit pada lubang antara bahagian rumah dan tandas yang hampir terpisah.

“Tandas kami pun tak ada atap, kalau hujan maka kami terpaksa kena hujan dulu dan musim hujan sebegini, kami juga terpaksa tidur dalam keadaan basah sebab hampir semua atap rumah ada lubang.

"Kalau ribut dan hujan lebat, rumah akan rasa bergegar sehingga anak-anak menangis ketakutan,” katanya.

Siti Sarah berkata, suaminya hanya bekerja buruh kasar dengan upah RM60 sehari dan dia suri rumah sepenuh masa kerana perlu memberi perhatian kepada anak-anaknya yang masih kecil.

“Pendapatan suami juga tidak menentu kerana dia hanya bekerja dua hari seminggu berikutan berpenyakit buasir kronik yang dihidapinya. Kalau angkat berat, dia sakit di bahagian perut dan mengeluarkan darah ketika membuang air besar.

“Jadi, hidup kami ibarat kais pagi makan pagi dan tinggal di rumah yang hampir runtuh ini. Anak-anak pula akan menangis kelaparan jika di rumah tidak ada makanan lebih-lebih lagi ketika musim tengkujuh kerana cuaca yang sejuk,” katanya.