X

Kindly register in order to view this article
!

Integriti usahawan, pengimport daging sejuk beku boleh dipertikai

Kamal Affandi Hashim
A
A

KUALA LUMPUR – Integriti usahawan, syarikat pengimport daging sejuk beku boleh dipertikai jika benar berlaku dakwaan kemasukan daging lembu sejuk beku secara tidak sah ke dalam negara.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, pihak berkuasa perlu melakukan semakan dan siasatan terperinci terhadap semua pengimport daging sejuk beku dari luar negara kerana isu ini amat sensitif kepada pengguna Islam.

“Isu halal dan haram ini adalah sensitif, ini termasuk risiko penyakit berjangkit yang terdapat pada daging terbabit sekiranya tidak mendapat kelulusan sah daripada pihak berkuasa berkaitan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, setiap barangan makanan terutamanya yang dibawa masuk ke dalam negara perlu mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

"Prosedur operasi standard (SOP) di Maqis telah difikirkan supaya ruang untuk ketirisan itu amat kecil. Namun, jika benar isu ini, kita perlu persoal integriti usahawan atau peniaga kita.

“Apa yang boleh dijelaskan adalah kebiasaannya Maqis akan melakukan semakan mengikut SOP mereka. Setiap dokumen daripada pihak pengimport akan disemak menerusi sistem mereka (Maqis).

"Saya juga musykil bagaimana daging itu boleh dibuat pembungkusan semula apatah lagi sukar ia dibawa masuk terutama yang menggunakan kontena,” katanya.

Menurutnya, jika berlaku penipuan dokumen sekali pun, Maqis akan semak dan sahkan pengimportan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Awas, aktiviti seludup masuk daging lembu tidak halal

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, pihaknya sedang meneliti dakwaan berkenaan isu terbabit.

"Sekiranya benar ada syarikat pengimport itu terlibat membawa masuk daging sejuk beku dari sumber tidak sah dan menggunakan logo halal, kita akan siasat untuk diambil tindakan," katanya.

Pada Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan mengenai syarikat ejen fret (freight forwarder) yang menguruskan proses pengimportan daging sejuk beku halal mengambil jalan mudah mengimport daging sejuk beku dari negara yang tidak menerima kelulusan sah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Laporan khas Sinar Harian pada Isnin lalu berkenaan kemasukan daging lembu sejuk beku secara tidak sah ke dalam negara.
Laporan khas Sinar Harian pada Isnin lalu berkenaan kemasukan daging lembu sejuk beku secara tidak sah ke dalam negara.

Kegiatan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu itu didakwa mendapat bantuan daripada ‘orang dalam’ di pintu masuk negara apabila kebanyakan daging sejuk beku import itu dibawa masuk menggunakan dokumen palsu.

Menurut sumber, kebanyakan daging sejuk beku yang tidak mendapat pengiktirafan halal itu diimport dari benua Amerika melalui pelabuhan utama negara.

Semalam, Jabatan Perkhidmatan Vaterinar memaklumkan kemasukan daging lembu sejuk beku secara tidak sah ke dalam negara berisiko besar boleh memudaratkan kesihatan pengguna.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!