Covid-19: Sabah rekod 84 kluster

Sabah merekodkan 84 kluster jangkitan Covid-19 sejak penularan wabak itu dikesan di negeri ini.
Sabah merekodkan 84 kluster jangkitan Covid-19 sejak penularan wabak itu dikesan di negeri ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sabah merekodkan 84 kluster jangkitan koronavirus (Covid-19) sejak penularan wabak itu dikesan di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, daripada jumlah yang direkodkan, sebanyak 63 kluster masih aktif, manakala 21 kluster telah ditamatkan.

"Daripada 63 kluster yang aktif, sebanyak 13 kluster mencatatkan pertambahan kes baharu dan pada hari ini membabitkan 61 kes secara keseluruhannya adalah kes baharu.

"Saya juga boleh nyatakan bahawa antara kluster yang menunjukkan jangkitan baharu yang tinggi ialah Kluster Telipok Ria yang menyumbangkan jumlah yang besar bagi Tuaran," katanya ketika sidang akhbar harian di Wisma Innoprise di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Sinar Harian berhubung jumlah keseluruhan kluster yang direkodkan di Sabah setakat hari ini.

Masidi dalam pada itu turut memaklumkan, sebanyak 25 kluster direkodkan berpunca dari Sabah bagi kes jangkitan Covid-19 di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Sabah catat kes sembuh tertinggi hari ini

"Kes jangkitan kluster di Semenanjung, Sarawak dan Labuan yang dikenal pasti berpunca dari Sabah diberikan nama awalan Bah.

Artikel Berkaitan:

"Ia bermula lewat September lalu sehingga ke hari ini dan sebanyak 25 kluster dikenalpasti berpunca daripada jangkitan di Sabah," katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan hari ini Sabah mencatat sebanyak 326 kes sekali gus menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 27,238 kes.

"Kes jangkitan mengikut daerah hari ini adalah Kota Kinabalu mencatat sebanyak 72 kes, diikuti Tawau (45), Lahad Datu (41), Tuaran (30), Semporna (26) dan Kudat (22).

"Kota Belud mencatat 17 kes, Penampang dan Keningau masing-masing mencatat 13 kes, Putatan (10), Sandakan (9), Papar (8), Beaufort (7), Pitas (6), Ranau (4), Beluran (2) dan Tenom (1)," katanya.