Sisa kimia dikesan dibuang di loji IWK

Loy Sian (dua dari kiri) bersama Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim sewaktu majlis taklimat berkenaan.
Loy Sian (dua dari kiri) bersama Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim sewaktu majlis taklimat berkenaan.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan pantas pihak berkuasa berjaya menghalang satu insiden pencemaran sisa kimia berhampiran Bandar Bukit Mahkota, Cheras yang berpotensi menyebabkan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih semalam.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, kejadian itu didapati berlaku apabila ada pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa kimia berwarna putih dengan campuran solvent di loji Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) berhampiran kawasan berkenaan.

Beliau berkata, bagaimanapun, cecair tercemar itu berjaya disedut menggunakan dua lori tangki bagi mengeluarkan bahan berkenaan.

"Lokasi kejadian itu adalah bersempadan dengan Nilai, Negeri Sembilan di mana beberapa kes pencemaran pernah dilaporkan sebelum ini.

"Loji IWK itu juga terpaksa ditutup semalam bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilaksanakan," katanya selepas Taklimat Pelan Perancangan Penyelesaian Masalah Bekalan Air di Sungai Selangor & Sungai Semenyih yang berlangsung di Bangunan Annex hari ini.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, jarak lokasi loji IWK terlibat ke tasik berhampiran kawasan itu yang bersambung dengan Sungai Beranang adalah hanya kira-kira 1 kilometer.

Beliau berkata, pihaknya mengesyaki dalang kegiatan itu melakukan pembuangan bahan terlarang berkenaan dengan menggunakan lori bagi menggelakkan daripada dikesan.

"Sekiranya tiada tindakan pantas semalam, penutupan loji mungkin berlaku berikutan air tercemar itu dijangka akan dibawa ke LRA Semenyih dalam tempoh 10 jam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kejadian itu merupakan insiden pencemaran kali ketiga pernah berlaku di lokasi berkenaan sejak tahun 2018 lalu.