Peruntukan tambahan RM50 juta bantu Sabah tangani Covid-19

Masidi Manjun
Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - Peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta kepada Sabah yang diumumkan di Dewan Rakyat hari ini akan membantu kerajaan Sabah dalam memerangi wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, negeri ini memang memerlukan lebih banyak peruntukan bagi menangani kes yang banyak di Sabah.

"Harus diingatkan bahawa Sabah antara negeri yang paling terkesan dengan penularan Covid-19 dan ia mengakibatkan kepada perbelanjaan pelbagai dalam negeri ini termasuk makanan, logistik, pembelian peralatan dan sebagainya yang memerlukan kewangan.

"Dana ini boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan dalam usaha kita untuk berperang dengan Covid-19 ini dan sudah pasti akan memudahkan kerja kita dengan penambahan kewangan," katanya ketika dalam sidang akhbar harian di Wisma Innoprise di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung dana tambahan yang diumumkan dalam penggulungan usul Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang diluluskan dalam Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Masidi lagi, kerajaan negeri juga sebelum ini menyediakan jumlah peruntukan yang tinggi untuk bagi memerangi Covid-19.

"Tambahan daripada Menteri Kewangan sudah pasti memberi impak yang baik, menggembirakan khususnya mereka di 'frontliners' dan sedikit sebanyak kita ada kemampuan yang lebih untuk dibelanjakan untuk tujuan ini.

"Kita harapkan peruntukan khusus yang telah diberi oleh Kementerian Kesihatan, diharap sebahagian besarnya untuk digunakan di Sabah dan bukan setakat RM50 juta yang diumumkan tadi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tengku Zafrul berhubung pengumuman itu kepada Sabah hari ini.