Insiden kuil: MMKN bermesyuarat petang ini

Amirudin ketika ditemui pemberita hari ini.
Amirudin ketika ditemui pemberita hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan mengadakan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MMKN) petang ini bagi melihat perkembangan terkini berhubung insiden kekecohan di Kuil Sri Mariamman, semalam.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, langkah itu adalah bagi memastikan keadaan dan keamanan awam di kawasan berkenaan dapat kembali pulih seperti biasa.

“InsyaALLAH selepas ini akan ada beberapa tindakan susulan diambil oleh pihak keselamatan untuk mengembalikan ketenteraman di kawasan terlibat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Dun hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Rusuhan kuil: Polis tahan empat lelaki, rampas parang]

Semalam Sinar Harian melaporkan perselisihan faham antara dua kumpulan berhubung isu pemindahan tapak kuil terletak di USJ 25, menjadi punca pergaduhan dan insiden kenderaan dibakar.

Setakat hari ini sebanyak 21 lelaki telah ditahan, 23 kenderaan dibakar dan sebuah jentera bomba dirosakkan.

Seorang anggota bomba turut dicederakan sewaktu ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan orang awam kenderaan terbakar.

Mengulas lanjut, Amirudin turut meminta semua pihak agar tidak membuat kenyataan perkauman bagi menghangatkan lagi isu tersebut.

“Jangan seolah-olah seperti menyimbah minyak ke dalam bara yang sedang marak.

Artikel Berkaitan:


“Sememangnya ini sudah merebak menjadi isu keselamatan dan saya harus bertindak tegas kerana keutamaan adalah bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai tindakan Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor V Ganabatirau Veraman berhubung kenyataannya di Facebook sebelum ini, Amirudin berkata pihaknya akan membincangkan perkara itu dengan lanjut selepas ini.

Beliau berkata, apa yang lebih penting buat masa ini adalah untuk mengembalikan semula keamanan awam di kawasan terlibat.

“Kita akan bincangkan nanti, tapi yang paling penting bagi saya adalah untuk kembalikan keamanan dan ketenteraman,”katanya.