Tun M kritik pembangkang tidak bangun sokong undi belah bahagi

Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil pendirian untuk kekal menolak Belanjawan 2021 yang telah diluluskan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga merupakan pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, ketetapan oleh beliau bersama kesemua ahli partinya dan beberapa ahli Parlimen lain untuk menolak belanjawan tersebut dibuat atas dasar amanah dan tanggungjawab sebagai wakil kepada rakyat.

Dr Mahathir turut mengkritik tindakan pembangkang yang tidak bangun untuk menyokong undi en-bloc atau belah bahagi untuk pengundian Belanjawan 2021 tersebut.

“Kerajaan yang didirikan melalui rasuah dan sogokan pada ahli Parlimen dan kerajaan yang korup boleh pula disokong oleh ahli Parlimen pembangkang tanpa sedikit pun berasa bersalah kerana mungkir janji kepada rakyat.

“Inilah apa yang telah berlaku di Dewan Rakyat hari ini apabila cuma 13 ahli Parlimen bukan kerajaan bangun untuk tolak belanjawan 2021, undi belah bahagi tidak dapat dilakukan kerana ia memerlukan 15 ahli," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Mahathir berkata, Pejuang tetap berpegang dengan pendirian mereka untuk menentang apa sahaja bentuk rasuah yang boleh memberikan kesan buruk kepada negara dalam masa jangka panjang.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan bahawa Usul Belanjawan 2021 dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu telah diluluskan dalam undian itu.

Cubaan beberapa ahli Parlimen untuk melakukan penolakan belanjawan melalui undian en-bloc atau belah bahagi tidak dapat dilakukan apabila gagal memperoleh sokongan sekurang-kurangnya 15 ahli Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Hanya 13 ahli Parlimen yang berdiri semasa ia dicadangkan dan daripada jumlah tersebut dengan hanya seorang wakil DAP dan seorang wakil Parti Sarawak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berdiri untuk memberikan sokongan bagi membolehkan cara pengundian tersebut dijalankan.

Kelmarin, Dr Mahathir mengumumkan beliau dan 'rakan-rakannya' mengambil ketetapan menolak Belanjawan 2021 yang akan diundi di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu dilakukan atas rasa tanggungjawab dan amanah yang dipegang bagi pihak rakyat kerana proses perbahasan Belanjawan yang dijalankan dilihat sangat mengecewakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Usul Belanjawan 2021 diluluskan

Tun M umum tolak Belanjawan 2021

Dr Noor Hisham luah rasa syukur Belanjawan 2021 lulus