Penganggur didakwa libas parang, ugut bunuh jiran

Gunasegaran ketika di bawah keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka hari ini.
Gunasegaran ketika di bawah keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka hari ini.
A
A
A

MELAKA - Padah melibas parang dan mengugut bunuh jiran, seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh S Gunasegaran, 29, yang berbaju hitam dan berseluar pendek bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dalam milikannya terdapat sebilah parang panjang berhulu putih dengan ukuran lebih kurang 85 sentimeter telah menggunakan senjata itu untuk melibas ke arah pengadu, M Ulaganathan, 50.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa telah melibaskan senjata tersebut dan mengeluarkan ugutan jika pengadu ke sana kembali, dia akan memotong mangsa dalam bahasa Tamil.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun yang mana jika ugutan hendak menyebabkan kematian, cedera parah, atau kebinasaan dengan api, atau kesalahan yang boleh dihukum dengan bunuh atau penjara mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Tanjung Kling, di sini jam 1.30 petang pada 1 November lalu.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas tertuduh tidak berpuas hati terhadap jirannya itu yang didakwa telah menyusahkan ibunya.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shukri Hussain tidak menawarkan sebarang jaminan namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau meminta jaminan bersyarat diberikan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Ahmad Soleh Yusof merayu jaminan rendah dibenarkan dengan alasan anak guamnya tidak bekerja dan menanggung isteri seorang orang kurang upaya (OKU lembam) serta empat anak yang masih kecil.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan serta tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai dan menetapkan 24 Disember depan bagi sebutan semula kes.