Mohd Al-Jufferi terima Anugerah Khas Diraja

Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah (dua, kiri) berkenan mengurniakan Anugerah Khas Diraja kepada atlet silat negara Mohd Al-Jufferi Jamari sempena Sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri Pahang di Istana Abdulaziz hari ini. - Foto Bernama
Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah (dua, kiri) berkenan mengurniakan Anugerah Khas Diraja kepada atlet silat negara Mohd Al-Jufferi Jamari sempena Sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri Pahang di Istana Abdulaziz hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Jaguh silat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari hari ini menerima Anugerah Khas Diraja sempena sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri Pahang di Istana Abdulaziz di sini.

Penganugerahan itu disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan menyerahkan wang tunai RM15,000, piala dan sijil penghargaan kepada Mohd Al-Jufferi.

Turut berangkat Tengku Panglima Muda, Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah dan Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mu'adzam Sultan Ahmad Shah.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

Sementara itu, Mohd Al-Jufferi, 28, ketika ditemui Bernama menganggap anugerah berkenaan sebagai pencapaian tertinggi sepanjang kariernya bergelar atlet kebangsaan sejak 15 tahun lepas.

Penolong jurulatih skuad silat Sukan Malaysia (Sukma) Pahang itu berkata, anugerah berkenaan adalah suntikan semangat baginya mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.

“Saya masih tidak percaya dengan pengiktirafan ini kerana merasakan ia terlalu besar buat diri, namun bersyukur kerana dipilih dan berterima kasih kepada semua yang terlibat sepanjang penglibatan saya dalam bidang silat.

“Ini adalah amanah bagi saya untuk menjaga serta mengharumkan nama negeri Pahang sepanjang masa,” kata anak jati Cenderawasih, Kuantan itu.

Artikel Berkaitan:

Antara pencapaian tertinggi Mohd Al-Jufferi adalah kejayaan meraih pingat emas di Kejohanan Dunia pada 2012, 2015 dan 2016. - Bernama