X

Kindly register in order to view this article
!

Agong zahir ucapan takziah atas kematian Maradona

Al-Sultan Abdullah hari ini menzahirkan ucapan takziah dan dukacita atas pemergian legenda bola sepak, Maradona akibat serangan jantung di rumahnya di Argentina semalam.
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan takziah dan dukacita atas pemergian legenda bola sepak, Diego Armando Maradona akibat serangan jantung di rumahnya di Argentina semalam.

Menurut kenyataan Istana Negara yang dimuat naik di laman Facebook dan Instagram, Seri Paduka Baginda juga menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga, orang tersayang, peminat dan rakyat Argentina atas kehilangan seorang anak bangsa yang dikasihi dan amat dihargai.

"Kali terakhir Seri Paduka Baginda bertemu dengan pemain bola sepak berbakat itu ialah di Zurich semasa Anugerah Terbaik Bola Sepak FIFA pada 2017 dan terpesona dengan karisma, keperibadian yang menyenangkan dan sikap suka berjenaka,” menurut kenyataan itu.

Seri Paduka Baginda yang sememangnya menggemari sukan bola sepak yang cukup menarik itu sama ada di peringkat Malaysia dan dunia, berkongsi minat yang serupa dengan Maradona dan Seri Paduka Baginda dan legenda bola sepak dunia itu berkongsi cerita yang panjang lebar mengenai sukan itu.

"Pertemuan tersebut adalah kenangan berharga buat Seri Paduka Baginda dan mendiang legenda Diego Maradona pastinya akan sentiasa diingat sebagai pemain bola sepak yang diminati Seri Paduka Baginda.

"Maradona sememangnya disayangi peminat bola sepak di seluruh dunia, juga dianggap sebagai salah seorang pemain bola sepak terbaik sepanjang masa dan juga ketua pasukan Argentina yang memberi inspirasi di sebalik kejayaan pasukan itu menjuarai Piala Dunia 1986.

“Beliau juga figura terkenal di Boca Juniors, Barcelona dan kelab Itali Napoli yang beliau terajui sehingga memenangi kejuaraan Serie A pada 1980-an," menurut kenyataan itu.

Al-Sultan Abdullah memberi penghormatan kepada legenda bola sepak ini, tokoh berbakat besar dan juga seorang pemain bola sepak yang berwawasan semasa berada di padang bola, meninggalkan warisan yang mengagumkan yang pastinya akan dikenang generasi akan datang di seluruh dunia. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!