Bukti kematangan ahli Parlimen, kata Muhyiddin

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) dan para Menteri Kabinet selepas ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) perbekalan 2021 peringkat dasar pada mesyuarat ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) dan para Menteri Kabinet selepas ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) perbekalan 2021 peringkat dasar pada mesyuarat ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sokongan terhadap Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat membuktikan kematangan ahli Parlimen dalam membuat keputusan penting sekali gus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ahli Parlimen telah meletakkan kebajikan, keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan mendahului perkara-perkara lain.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Belanjawan 2021 telah pun diluluskan oleh Dewan Rakyat hari ini.

"Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli Parlimen terutama ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menyokong Belanjawan 2021 sehingga diluluskan di peringkat dasar," katanya dalam kenyataan.

Perdana Menteri berkata, Belanjawan 2021 merupakan yang terbesar dan sangat penting kepada negara.

"Sokongan ini membolehkan kerajaan melaksanakan perancangan perbelanjaan untuk tahun hadapan dengan lancar," katanya.

Beliau berkata, Belanjawan 2021 adalah bukti kerajaan PN amat prihatin mendengar keluh-kesah rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: Perbelanjaan 2021 terbesar dalam sejarah

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan juga amat responsif terhadap pandangan pelbagai pihak dalam membantu rakyat memulih serta menjana semula ekonomi negara yang terkesan teruk akibat pandemik koronavirus (Covid-19)," katanya.

Muhyiddin turut merakamkan ucapan tahniah kepada Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Kementerian Kewangan yang bertungkus-lumus menyiapkan penggulungan Belanjawan 2021 dengan beberapa penambahan.

"Penambahbaikan itu mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen yang mengambil bahagian ketika perbahasan RUU Perbekalan 2021 ini dijalankan.

"Semoga Belanjawan 2021 akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk mensejahterakan kehidupan rakyat dan negara," katanya.

Pada 28 Oktober lalu, Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati ahli Dewan Rakyat supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021.