X

Kindly register in order to view this article
!

Akhirnya suara rakyat didengari

Status dikongsi Najib dan Asyraf Wajdi di Facebook masing-masing hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Syarat ketat pengeluaran wang dari akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akhirnya dimansuhkan kerajaan pada sesi menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat dasar 2021 oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat hari ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak antara yang terawal mengumumkan berita gembira berkenaan menerusi laman Facebook miliknya.

“Rasmi dari Parlimen, program i-Sinar pengeluaran wang dari akaun 1 KWSP kini dibuka kepada ahli yang menghadapi masalah kewangan.

“Sekarang lapan juta juta ahli KWSP layak untuk mengeluarkan sehingga RM10,000 seperti dituntut YB Pekan, YB Bagan Datuk dan ahli-ahli MP BN,” katanya.

Perkara sama turut dikongsi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki di laman Facebooknya dengan berkata, ia berita gembira untuk rakyat apabila kerajaan bersetuju program i-Sinar KWSP diperluaskan kepada semua ahli KWSP yang terjejas pendapatan.

“Alhamdulillah suara rakyat didengari!

“Segala syarat-syarat ketat pengeluaran akaun satu KWSP dimansuhkan dengan mengambil kira semua pencarum yang pendapatannya terjejas iaitu kira-kira lapan juta orang berbanding hanya dua juta orang sebelum ini dengan kebenaran pengeluaran sehingga maksimum RM10,00,” katanya.

Pada sesi menggulung perbahasan berkenaan, Tengku Zafrul mengumumkan program i-Sinar KWSP dibuka kepada semua ahli yang menghadapi masalah kewangan.

Had pengeluaran i-Sinar juga dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000 membabitkan peruntukan sebanyak RM70 bilion.

Terdahulu Najib dan Asyraf Wajdi antara wakil dari UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang lantang bersuara menyatakan sokongan bersyarat terhadap Belanjawan 2021 dengan menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran 'one-off' hingga RM10,000 daripada akaun satu KWSP selain melanjutkan moratorium.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!