Covid-19: 935 kes baharu, 2,555 kes pulih direkodkan

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Bilangan kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan koronavirus (Covid-19) terus mencatatkan angka tertinggi dua hari berturut-turut dengan 2,555 kes dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah tersebut menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah 49,056 kes.

"Ia bersamaan dengan 80.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, kes pulih turut merekodkan jumlah tertinggi dengan 2,348 kes.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan kes baharu positif Covid-19 sebanyak 935 kes.

"Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 60,752 kes dengan 11,348 kes dirawat di hospital," katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 931 kes adalah penularan dalam negara.

"Sabah hari ini melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 326 kes, diikuti Selangor 161 kes dan Negeri Sembilan 158 kes.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, Perak merekodkan 79 kes, Johor (60), Kuala Lumpur (59), Kelantan (28), Kedah (24), Pulau Pinang (17) dan Labuan (13).

"Putrajaya mencatatkan lima kes, Sarawak empat kes dan satu dikesan di Terengganu," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 103 kes (11.0 peratus) yang dikesan berkaitan kluster-kluster di lokap dan penjara yang membabitkan Kluster Bakti (95), Kluster Tembok (5), Kluster GK Tawau (2) dan Kluster Penjara Kepayan satu kes.

"Sehingga kini, terdapat 110 kes positif Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 45 memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Katanya, terdapat pertambahan tiga kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini.

"Ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 348 kes iaitu 0.57 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Berdasarkan ringkasan, kes kematian berkenaan dilaporkan di Sabah membabitkan dua pesakit wanita dan satu lelaki yang berumur 59 hingga 77 tahun serta mempunyai latar belakang penyakit lain.