Sharifah Norhayati Ketua Wanita PKR Terengganu yang sah

Haniza Talha
Haniza Talha
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Berdasarkan perlembagaan parti, pelantikan mana-mana Ketua Wanita PKR negeri merupakan bidang kuasa Ketua Wanita PKR Pusat bukan Pengerusi PKR negeri, demikian kata Ketua Wanita PKR Pusat, Haniza Talha.

Atas dasar itu katanya, Sharifah Norhayati Syed Omar merupakan Ketua Wanita PKR Terengganu yang sah bukan Ketua Wanita PKR Cabang Dungun, Armila Alias yang diumumkan Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail dalam satu sidang media semalam.

Menurut Haniza, tidak wujud sebarang isu tentang kemelut pelantikan pemimpin utama wanita PKR Terengganu kerana Sharifah Norhayati menerima watikah pelantikan rasmi beliau pada 26 Disember 2018 dan mula bekerja untuk parti.

“Memang mengikut peraturan parti, pelantikan mendapat pandangan Ketua Wanita Cabang dan Pengerusi PKR negeri.

"Saya ada hubungi Pengerusi PKR Terengganu tanya pandangan dan dia ada beri nama calon yang dicadangkan tapi nama lain, bukan Armila.

“Lantikan sudah dibuat, saya pun sudah berbincang dengan Ketua-Ketua Wanita Cabang pada 16 November 2018. Saya sudah buat perbincangan awal.

“Sharifah (Norhayati) adalah Ketua Wanita PKR negeri dan dia juga Ketua Wanita PH Terengganu, jadi saya hairan macam mana pengerusi negeri yang umum. Dia nak jadi Ketua Wanita Pusat atau Pengerusi negeri?” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:Armila Ketua Wanita PKR Terengganu baharu

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:Saya masih Ketua Wanita PKR Terengganu, kata Sharifah Norhayati

Haniza berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan Sharifah Norhayati kerana berjaya menarik lebih ramai ahli baharu dengan pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuk Konvensyen Wanita PKR Zon Timur di Kelantan semalam.

“Pelantikan dah ikut perlembagaan, dia pun boleh buat kerja. Anak-anak muda suka dengan dia, masyarakat di Terengganu juga mengiktiraf dia sebagai pemimpin masyarakat, jadi apa lagi yang tak betulnya?,” soalnya.

Beliau turut menasihati kepimpinan supaya beri tumpuan kepada mengisi kemenangan dan tunaikan tanggungjawab kepada rakyat, bukan sekadar menimbulkan kontroversi.

“Jangan pula kita buatkan rakyat menyampah dengan perangai kita, tidak ada buat kerja lain selain menimbulkan kontroversi saja,” katanya.