Bakal pengantin didakwa cuba rogol rakan serumah tunang

Amirul Hanif (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Amirul Hanif (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA - Seorang bakal pengantin lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan cuba merogol, mencabul seorang wanita dan menceroboh rumah didiami wanita itu bersama tunangnya pada minggu lalu.

Amirul Hanif Ibrahim, 27, yang bakal bernikah Mac depan bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah cuba merogol seorang perempuan berusia 23 tahun dan didakwa mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan niat hendak mencabul kehormatannya dan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Bagi perbuatan itu tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman, jika sabit kesalahan.

Selain itu dia juga berdepan dengan pertuduhan telah melakukan pencerobohan jenayah tanpa mendapat kebenaran daripada tuan rumah yang digunakan sebagai kediaman.

Dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini jam 10.53 pagi pada 17 November lalu.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, tertuduh yang merupakan pekerja pembersihan telah bertunang dan akan berkahwin dengan tunangnya pada Mac depan, sementara mangsa adalah rakan serumah tunangnya dan ketika kejadian tunangnya tiada di rumah.

Lelaki itu dipercayai memasuki rumah berkenaan menggunakan kunci pendua dan menunggu mangsa pulang ke rumah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shukri Hussain dan tidak mencadangkan sebarang jaminan.

Peguam Ahmad Soleh Yusof yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah diberikan dengan alasan tertuduh akan memberikan kerjasama dan hadir sepanjang kes berlangsung selain jaminan akan dibayar oleh adiknya yang bekerja sebagai penghantaran makanan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan jaminan akan dibayar oleh adiknya, selain syarat tambahan melaporkan diri di balai polis terdekat sekali sebulan serta tidak menghampiri atau mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes dan serahan dokumen pada 24 Disember depan.