X

Kindly register in order to view this article
!

Empat diberkas, 30 kes pecah rumah selesai

Rakaman kamera litar tertutup mendapati salah seorang ahli geng Yong memecah masuk sebuah kedai di sini baru-baru ini.
A
A

SERDANG - Seramai empat lelaki disyaki ahli geng Yong yang aktif melakukan jenayah pecah kedai diberkas sekali gus menyelesaikan 30 kes pecah kedai di daerah Serdang, Brickfield, Petaling Jaya dan Kajang.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, kesemua mereka ditahan secara berasingan di Taman Bukit Serdang di sini Ahad lalu.

Menurutnya, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 41 tahun pada jam 9 malam di sebuah rumah di Taman Bukit Serdang dan hasil soal siasat turut berjaya memberkas tiga lagi lelaki berusia 30 hingga 40 tahun di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Serdang.

"Polis turut merampas pelbagai peralatan pecah rumah, empat buah telefon bimbit pelbagai jenama, tiga unit karburator motor, tiga helai sarung tangan dan sehelai topeng muka.

"Selain itu, turut dirampas 53 botol minuman keras beralkohol pelbagai jenama, dua bilah pedang, sebilah pisau, dua unit dekoder rakaman kamera litar tertutup, dua buah 'dvd player', sebuah televisyen dan dua motosikal yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Razali berkata kumpulan penjenayah itu telah aktif sejak tiga bulan lalu dan mereka menggunakan motosikal untuk melakukan jenayah.

Katanya, modus operandi yang digunakan oleh kumpulan ini adalah pecah restoran dan kafe.

"Mereka melakukan jenayah ke atas kira-kira tiga hingga enam kedai dalam satu kawasan dengan menggunakan cara memotong kunci di pintu hadapan untuk memecah masuk ke dalam kedai.

"Antara barangan yang akan diambil ialah peti simpanan tunai, mesin wang dan barangan berharga," katanya.

Razali berkata, hasil semakan mendapati salah seorang daripada suspek yang ditahan itu mempunyai 28 rekod jenayah lampau dan empat rekod narkotik manakala hasil ujian air kencing mendapati kesemua individu itu positif dadah jenis methamphetamine.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 kanun keseksaan atas kesalahan kerana pecah rumah," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!