Penganggur warga Sudan mengaku salah cederakan sepupu

Abdallah Ismail (tengah) dibawa oleh pihak polis ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan mencederakan sepupunya, hampir dua minggu lalu.
Abdallah Ismail (tengah) dibawa oleh pihak polis ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan mencederakan sepupunya, hampir dua minggu lalu.
A
A
A

AMPANG - Seorang penganggur warga Sudan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan sepupunya, hampir dua minggu lalu.

Abdallah Ismail Mohamed Bashir, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 14 Januari tahun depan sebagai tarikh jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan, Abdallah Ismail bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa dengan niat sengaja menyebabkan kecederaan kepada Amar Mohamed Abdallah Mohamed, 29, menggunakan pisau pemotong stik, yang mana ia boleh mengundang kematian.

Kesalahan dilakukan di Kondominium Sri Angsana Hilir, di sini pada jam 11 malam, 15 November lalu.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shazwani Abdullah tidak mencadangkan tertuduh tidak diberi ikat jamin kerana bukan warganegara Malaysia namun merupakan seorang pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Dalam pada itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam juga tidak membuat rayuan berhubung perkara tersebut kerana memaklumkan, tiada keluarga hadir untuk menjamin.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Farah Nasihah menawarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan dua penjamin kepada tertuduh.