Dua anggota PVR positif Covid-19, 12 dikuarantin

Habibi sebagai wakil menerima sumbangan daripada pihak KPS kepada anggota PVR yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dalam majlis di pekarangan Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu hari ini.
Habibi sebagai wakil menerima sumbangan daripada pihak KPS kepada anggota PVR yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dalam majlis di pekarangan Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu hari ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seramai 14 anggota Polis Sukarelawan Simpanan (PVR) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu terkesan akibat jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) termasuk dua daripadanya didapati positif serta sedang menerima rawatan di hospital ketika ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, keanggotaan PVR adalah untuk membantu penugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menjaga keselamatan di pusat kuarantin Covid-19 di bawah pentadbiran IPD Kota Kinabalu.

"Pada ketika ini, seramai 14 orang terkesan dalam jangkitan di mana dua daripadanya didapati positif Covid-19 dan 12 lagi dikenakan kuarantin.

"Mereka dijangkiti ketika menjalankan penugasan di sekatan jalan raya dan semuanya setakat ini dalam keadaan stabil dan bukan membabitkan kes kritikal, tetapi masih menerima rawatan di hospital," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan daripada Skuad Komuniti Prihatin Sabah (KPS) kepada anggota PVR di pekarangan Balai Polis Karamunsing, di sini hari ini.

Mengulas berhubung program itu, Habibi berkata, KPS prihatin dengan nasib 20 anggota PVR yang dikenal pasti kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19.

"Sumbangan berbentuk makanan dan pelitup muka diserahkan kepada anggota PVR iaitu seramai 20 orang yang telah kehilangan kerja akibat pandemik ini.

"Sebagai makluman seramai 342 anggota PVR yang bertugas di bawah IPD KK dan yang aktif adalah seramai 221 orang. Daripada jumlah itu, kita telah membuat kajian ada antara mereka iaitu 20 orang telah kehilangan mata pencarian," katanya.

Habibi berkata, menerusi sumbangan itu diharap dapat meringankan bebanan keluarga yang terkesan akibat Covid-19 ini.

Artikel Berkaitan: