Banjir pun tetap seludup barang, pihak berkuasa pantau sempadan

Anggota PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor membuat rondaan di perairan Pengkalan Taikbai hari ini.
Anggota PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor membuat rondaan di perairan Pengkalan Taikbai hari ini.
A
A
A

TUMPAT - Tidak kira musim banjir atau tengkujuh, kegiatan penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand masih tetap berjalan.

Ini kerana limpahan air Sungai Golok yang menyebabkan penyeludup kedua-dua negara mendapat akses lebih mudah membawa masuk barangan berkenaan ke kampung-kampung di tebing sungai.

Pegawai Operasi Risik 1 Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Inspektor Reduan Mohidin berkata, kegiatan penyeludupan sentiasa berlaku kerana terdapat permintaan daripada kedua belah negara.

Katanya, walaupun begitu, pihak berkuasa tetap melakukan rondaan dan mengawal tanpa mengira masa baik menerusi sungai atau darat bagi mengekang penyeludupan.

"Diakui peluang membawa masuk dan keluar barang seludup agak besar, namun mereka (penyeludup) juga berdepan dengan arus sungai yang deras dan sedikit sebanyak menjadi halangan jenayah rentas sempadan.

"Pasukan sentiasa menjalankan risikan di darat dan rondaan di sungai yang merangkumi kawasan tanggungjawab sepanjang Pantai Senok, Bachok dan perairan Kuala Tak Bai (Tumpat) hingga ke Kubang Pak Itam di Pasir Mas," katanya ketika ditemui semasa melakukan rondaan di perairan Sungai Golok, hari ini.

Kawasan sempadan Malaysia-Thailand sentiasa dipantau meskipun musim banjir bagi mengekang kegiatan penyeludupan.
Kawasan sempadan Malaysia-Thailand sentiasa dipantau meskipun musim banjir bagi mengekang kegiatan penyeludupan.

Reduan berkata, kegiatan penyeludupan tetap berjalan meskipun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sepanjang tempoh PKPB yang bermula 21 November lalu, pihak PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, menerima tiga kes sehingga semalam yang membabitkan rampasan beras dan petrol dengan anggaran nilai RM1,003.

"Tetap ada individu dari kedua buah negara yang melakukan kegiatan penyeludupan membabitkan barang kawalan seperti beras, tepung gandum, minyak masak dan bahan bakar.

"Biasanya barangan yang diseludup masuk atau keluar melibatkan barangan keperluan harian, namun pada satu-satu masa ada juga barangan lain seperti rokok, kain, tudung dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, cubaan sindiket penyeludupan menyelinap masuk biasanya dapat dikesan oleh pihaknya yang sentiasa melakukan rondaan baik di sungai, laut termasuk darat.

Ujarnya, agensi lain turut sama membantu dalam mengawal sempadan negara selain mempunyai hubungan rapat dengan pihak berkuasa negara jiran.