Mangsa sempat lihat individu yang tembaknya di pagar sempadan

Laporan Sinar Harian Online semalam.
Laporan Sinar Harian Online semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang cedera ditembak ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam sempat melihat kelibat individu yang menembaknya di pagar sempadan sebelah negara Thailand, petang semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan individu tersebut mempunyai kaitan dengan kumpulan penyeludupan namun siasatan terhadap kejadian itu masih berjalan lagi.

Menurutnya, pihaknya juga masih menyiasat sama ada individu yang menembak anggota PGA berusia 26 tahun tersebut mempunyai kaitan dengan kumpulan penyeludup yang menembak mati mendiang Sarjan Baharuddin Ramli, 54, di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Selasa lalu.

"Kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu berlaku apabila mangsa berpangkat Lans Koperal sedang membuat rondaan motosikal operasi Ops Benteng di kawasan Kedah-Perlis di sempadan telah ditembak di bahagian perut dengan menggunakan senapang angin.

"Apabila mangsa menoleh ke arah sempadan, dia melihat ada satu kelibat manusia berpakaian gelap berada di pagar sempadan di sebelah negara Thailand.

"Mangsa kemudian telah bergegas balik ke pos untuk mendapatkan bantuan dan apabila berpatah balik ke tempat kejadian kelibat individu tersebut telahpun tiada," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lagi anggota PGA ditembak di sempadan

Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand

Kes tembak di sempadan: Seorang lagi anggota PGA cedera

Hasanuddin berkata, mangsa hanya mengalami cedera melecet di bahagian perut akibat terkena peluru bebola besi daripada senapang angin tersebut.

Jelasnya, pihaknya sentiasa mengingatkan semua petugas-petugas keselamatan di sempadan untuk sentiasa prihatin dan berjaga-jaga dengan ancaman seperti yang berlaku terhadap anggota PGA dalam tempoh 48 jam yang lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: 18 lelaki direman kes tembak anggota PGA di sempadan

Dalang utama, tiga lagi suspek kes tembak anggota PGA direman

Artikel Berkaitan:

Semalam Sinar Harian melaporkan seorang anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) dilaporkan cedera di perut selepas terkena tembakan ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam.

Ini merupakan siri kedua kejadian tembakan di sempadan membabitkan anggota PGA dalam tempoh kurang 48 jam selepas kejadian pertama di Padang Besar awal pagi semalam.

Ketika kejadian pada jam 6.15 petang itu, anggota terbabit sedang melakukan kawalan sempadan di Pos M16 Bukit Kayu Hitam sebelum secara tiba-tiba terkena tembakan.