Penyakit jantung iskemia kekal pembunuh nombor satu negara

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Penyakit jantung iskemia (Ischaemic heart disease) kekal pembunuh nombor satu di negara ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penyakit itu merekodkan 16,325 daripada 173,746 kematian pada tahun 2019.

Menurutnya, sebanyak 11,330 kematian disebabkan penyakit jantung iskemia terdiri daripada lelaki manakala 4,995 adalah perempuan.

"Penyakit ini yang juga dikenali sebagai penyakit jantung koronari merupakan sebab kematian utama bagi semua kumpulan etnik utama di Malaysia.

"Kematian disebabkan penyakit itu dalam kalangan bumiputera adalah 14.5 peratus, Cina (14 peratus) dan India (20.4 peratus)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, penyakit pembunuh utama itu merupakan penyebab kematian di 70 daerah dengan daerah Sik di Kedah merekodkan 27.1 peratus kematian disebabkan penyakit itu.

Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci berkata, kumpulan umur 41 hingga 59 tahun merekodkan kematian akibat penyakit itu dengan kadar 18 peratus.

"Bagi kumpulan umur 60 tahun ke atas, sebanyak 16 peratus kematian direkodkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, pneumonia mencatatkan sebab kematian kedua tertinggi di negara ini dengan 12.2 peratus diikuti cerebrovascular diseases (8.0 peratus), kemalangan pengangkutan (3.8 peratus) dan Malignant neoplasm of trachea, bronchus and lung (2.4 peratus).

"Pneumonia merupakan sebab kematian utama di 51 daerah pentadbiran dengan peratusan tertinggi dicatatkan di Kota Setar iaitu 19.5 peratus.

"Dari segi kumpulan umur, sebab kematian utama bagi yang berumur 0-14 tahun dan 15-40 tahun adalah akibat kemalangan pengangkutan masing-masing pada kadar 3.3 peratus dan 20.6 peratus," katanya.

Tambahnya, Laporan Perangkaan Sebab Kematian bagi tahun 2019 merupakan input penting bagi penggubalan polisi dan perancangan program berkaitan bidang kesihatan serta sumber rujukan kepada penyelidik dan akademik.