Penolong jurutera didakwa terima wang, guna dokumen palsu

Tertuduh (kiri) diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas selesai sebutan kesnya di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Kuantan hari ini.
Tertuduh (kiri) diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas selesai sebutan kesnya di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Kuantan hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Seorang penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Khas Rasuah Kuantan hari ini atas tuduhan menerima imbuhan tanpa balasan dan menggunakan dokumen palsu.

Tertuduh, Syamsul Azrai Yusoff, 41, yang bertugas sebagai penolong jurutera Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dikemukakan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nadzirah Zahari di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang RM1,000 tanpa balasan daripada seorang lelaki yang ada hubungan dengan tugas rasminya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Jalan Bukit Ubi, di sini pada 20 Mei lalu di mana wang tersebut diterima melalui akaun bank atas namanya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima wang RM1,000 daripada lelaki tersebut di cawangan bank yang sama pada 29 Jun lalu.

Bagi dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana menggunakan Surat Kelulusan Tambahan Kerja-Kerja Kecil dan Surat Kelulusan Pembinaan Bangunan MPK palsu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Lorong Seri Teruntum 63, Jalan Wong Ah Jang, di sini sekitar Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Susulan pengakuan tidak bersalah tertuduh itu, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM5,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguam, Najmi Dawami Abdul Hamid tidak mengemukakan bantahan berhubung jumlah jaminan yang ditawarkan dan difahamkan telah menjelaskan wang ikat jamin tersebut.

Mahkamah menetapkan 16 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.