Mayat dalam lombong disyaki warga asing lari pusat kuarantin

No Image Caption
A
A
A

SEPANG - Mayat lelaki tanpa organ dalaman yang ditemui pada 10 November lalu di dalam bekas lombong berhampiran Kampung Orang Asli Bukit Dugang, Dengkil, di sini dipercayai warga asing lari dari pusat kuarantin Covid-19.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, sebuah syarikat mendakwa mayat lelaki yang ditemui di dalam lombong itu berkemungkinan pekerja asing syarikat berkenaan.

"Kita sudah mengemukakan permohonan mendapatkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) menerusi kedutaan besar negara asal mangsa, dua minggu lalu.

"Kita juga masih menunggu pengesahan identiti mangsa menerusi DNA kaum keluarganya di negara asal," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, di sini semalam.

Wan Kamarul berkata, mangsa tiba di negara ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Selepas dua hari menjalani kuarantin, mangsa berjaya melarikan diri dari Pusat Kuarantin sebuah hotel di sini.

"Mayat mangsa ditemui terapung tanpa organ dalaman di dalam bekas lombong. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Pada 12 November lalu, media melaporkan mayat mangsa ditemui dalam keadaan meniarap serta tidak berpakaian manakala bahagian organ dalamannya didapati sudah tiada disyaki dimakan ikan atau binatang di lombong berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Wan Kamarul Azran dilaporkan berkata, mangsa disyaki meninggal dunia kira-kira lima hari sebelum itu dan tiada dokumen pengenalan dirinya ditemui.

Menurutnya, mayat itu ditemui kira-kira 50 meter dari sebuah kandang lembu dan siasatan awal polis terhadap penduduk orang asli mendapati tiada ahli keluarga mereka yang hilang.