Tindakan tegas, tamat perkhidmatan jika terlibat rasuah: KPN

Abdul Hamid (kiri) melancarkan buku Pelan Antirasuah Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.
Abdul Hamid (kiri) melancarkan buku Pelan Antirasuah Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan pihaknya tidak pernah sama sekali berkompromi dalam isu yang berhubung kait dengan perlakuan rasuah, perlanggaran peraturan atau undang-undang melibatkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Abdul Hamid berkata, tindakan tegas termasuklah penamatan perkhidmatan mengikut Peraturan 49: Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, akan diambil ke atas mereka yang didapati terlibat dalam jenayah, gejala rasuah, serta salah laku yang serius dan berulang (habitual).

"Saya amat yakin Pelan Antirasuah Polis Diraja Malaysia (PAPDRM) 2020-2024 dapat membentuk satu hala tuju nyata, ke arah meletakkan PDRM di atas landasan yang betul.

"Ia juga akan menjadi panduan kepada seluruh warga PDRM untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dan negara, di samping melaksanakan agenda integriti di dalam organisasi secara holistik," katanya pada majlis pelancaran Buku PAPDRM 2020-2024 di Bukit Aman hari ini.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki dan Ketua Pengarah Pusat Governans Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Abdul Hamid berkata, selain itu, pembangunan PAPDRM juga adalah bukti komitmen PDRM untuk menghapuskan gejala rasuah dan mengamalkan ketelusan, sikap bertanggungjawab serta integriti dalam urus tadbir dan penyampaian perkhidmatan PDRM kepada masyarakat.

"Ia dibangunkan secara kolektif oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), selaras dengan arahan YAB Perdana Menteri No 1 Tahun 2018, Siri 2 No 1 Tahun 2019," katanya.

Menurutnya, PAPDRM telah menetapkan enam bidang keutamaan yang perlu diberi tumpuan iaitu tadbir urus organisasi dan sumber manusia; risikan keselamatan; risikan dan penguatkuasaan undang-undang; siasatan dan pendakwaan; ketenteraman awam, serta pengurusan kewangan dan perolehan.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan enam bidang keutamaan tersebut, sebanyak 53 inisiatif telah dibangunkan untuk dilaksana melalui enam strategi ke arah melahirkan warga kerja PDRM yang berintegriti dan berdaya saing," katanya.

Beliau berkata, enam strategi itu antaranya mengutuhkan modal insan dalam PDRM, memperkasakan kredibiliti dan integriti maklumat risikan keselamatan serta meningkatkan integriti dalam menguatkuasakan undang-undang.

"Meningkatkan kredibiliti siasatan dan pendakwaan, memperkasakan tindakan pencegahan jenayah secara berhemah dalam menjamin ketenteraman awam dan mengoptimumkan pengurusan kewangan dan perolehan PDRM secara sistematik serta berintegriti," katanya.

Abdul Hamid berkata, tidak dinafikan kini PDRM bukan sekadar berhadapan dengan persepsi negatif daripada masyarakat.

"Namun realitinya juga, imej pasukan telah tercalar dengan penangkapan-penangkapan yang dilakukan terhadap warga PDRM atas kesalahan jenayah, rasuah dan dadah.

"Lebih menyedihkan, disebabkan angkara segelintir warga PDRM yang tidak bermaruah dan mementingkan diri, maka keseluruhan organisasi pasukan dihukum, dicaci serta dituduh oleh masyarakat, ibarat harapkan pagar, pagar makan padi," katanya.

Beliau berkata, semoga usaha ini juga dapat memulihkan imej PDRM seterusnya mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap kredibiliti PDRM sebagai agensi penguat kuasa undang-undang utama negara.

"Semoga usaha murni ini akan mendapat rahmat daripada Ilahi, dan kita semua diberikan kekuatan untuk menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan penuh integriti, berlandaskan tuntutan agama, mengikut harapan kerajaan dan juga memenuhi hasrat masyarakat," katanya.