X

Kindly register in order to view this article
!

Kes Covid-19 global lepasi 60 juta

Jumlah kes Covid-19 di seluruh dunia melepasi angka 60 juta semalam. - Foto 123RF
A
A

WASHINGTON - Jumlah kes koronavirus (Covid-19) di seluruh dunia melepasi angka 60 juta semalam, lapor Agensi Anadolu menurut Johns Hopkins University.

Universiti yang berpusat di Amerika Syarikat (AS) itu telah merekodkan 60,186,902 jangkitan dan 1,417,319 kematian sejak virus itu pertama kali dilaporkan di bandar Wuhan, China pada Disember.

AS terus menjadi negara paling teruk dijangkiti, dengan lebih 261,000 kematian dan lebih 12.7 juta kes, diikuti India (9.2 juta kes), Brazil (6.1 juta kes) dan Perancis (2.2 juta kes).

Sejumlah 38.4 juta orang di seluruh dunia telah sembuh.

Lebih 100 vaksin Covid-19 yang dibangunkan kini berada pada tahap perkembangan yang berbeza. Pengeluar ubat AS, Pfizer dan syarikat bioteknologi Jerman BioNTech minggu lalu mengatakan vaksin Covid-19 mereka 95 peratus berkesan, berbanding anggaran sebelum ini iaitu 90 peratus.

Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas sebuah lagi syarikat ubat AS, Moderna mengatakan vaksin mereka 94.5 peratus berkesan.

Melihat kepada perkembangan semasa, harapan untuk vaksin Covid-19 semakin cerah, kata ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin.

"Kini harapan semakin nyata vaksin, bersama dengan langkah-langkah kesihatan awam yang telah dicuba dan diuji, akan membantu mengakhiri pandemik," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Ghebreyesus. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!