Iran akan beli 42 juta dos vaksin Covid-19

Iran akan membeli kira-kira 42 juta dos vaksin Covid-19 untuk kemudahan suntikan vaksin kepada 21 juta rakyatnya. - Foto 123RF
Iran akan membeli kira-kira 42 juta dos vaksin Covid-19 untuk kemudahan suntikan vaksin kepada 21 juta rakyatnya. - Foto 123RF
A
A
A

TEHRAN - Iran akan membeli kira-kira 42 juta dos vaksin koronavirus (Covid-19) daripada syarikat asing untuk menyediakan kemudahan suntikan vaksin kepada 21 juta rakyatnya, lapor Agensi Berita Iran (IRNA).

Menteri Kesihatan, Rawatan dan Pendidikan Perubatan Saeed Namaki semalam berkata, bekalan vaksin akan disalurkan antaranya menerusi Kemudahan COVAX dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang dijadual mengimport 16.8 juta dos untuk kira-kira 8.4 juta penduduk.

Beliau berkata, dos selebihnya akan diterima dalam bentuk kontrak bersama beberapa syarikat asing.

Di samping itu katanya, syarikat dan saintis Iran sedang menghasilkan vaksin tempatan di 12 syarikat di Tehran dan sekurang-kurangnya empat prosedur sudah mendapat kelulusan WHO.

Satu daripada syarikat tempatan itu dibenarkan melakukan ujian terhadap manusia dan proses itu dijadual bermula minggu depan, selepas ujian klinikal ke atas haiwan berjaya.

Tambah beliau, diharapkan ujian klinikal vaksin Covid-19 itu akan memberikan hasil yang baik dalam beberapa bulan lagi. - Bernama

Artikel Berkaitan: