Pegawai Tourism Malaysia positif Covid-19

Tourism Malaysia
Tourism Malaysia
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) hari ini mengesahkan seorang pegawai Tourism Malaysia, sebuah agensi di bawahnya, yang bertugas di ibu pejabat kementerian di sini didapati positif koronavirus (Covid-19).

Berikutan itu, MOTAC berkata, semua pegawai dan kakitangan kementerian yang bertugas di bangunan ibu pejabatnya diarahkan menjalani kuarantin kendiri dan bekerja dari rumah berkuat kuasa hari ini.

“Bagi menangani penularan wabak pandemik Covid-19, bangunan MOTAC di Putrajaya telah disanitasi pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) pada petang Rabu (semalam),” kata MOTAC dalam satu kenyataan.

Menurut MOTAC, KKM turut mengesahkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri bukan kontak rapat serta tiada kontak secara langsung dengan pegawai terbabit.

Selain itu, ujian calitan yang dijalani Nancy pada petang semalam turut mengesahkan menteri berkenaan negatif Covid-19, demikian menurut kenyataan tersebut.

Bagaimanapun menurut MOTAC, sebagai langkah berjaga-jaga Nancy akan menjalani satu lagi ujian calitan pagi ini.

Sementara itu, pembantu Nancy mengesahkan menteri tersebut bertugas di pejabat kementerian di Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur.

“Ketika Parlimen bersidang, YB Menteri beroperasi dari pejabat di Kuala Lumpur, Justeru, beliau tidak ada kontak dengan pegawai yang dijangkiti, dan ini disahkan (menerusi pengesanan kontak rapat) oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik daripada Pakatan Harapan bertanya kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun tentang menteri itu dibenarkan berada di Dewan Rakyat susulan kes positif Covid-19 di ibu pejabat MOTAC.

Nancy dijadualkan menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 bagi kementeriannya hari ini. - Bernama