Wanita cari waris anak angkat

Zaidah menunjukkan dokumen di dalam simpanannya dan gambar terkini Muhammad Raykal Arean.
Zaidah menunjukkan dokumen di dalam simpanannya dan gambar terkini Muhammad Raykal Arean.
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Seorang wanita mencari waris anak angkat yang dipeliharanya sejak kecil bagi membantu menyelesaikan masalah penyerahan anak angkat secara sah melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Zaidah Othman, 47, berkata, Muhammad Raykal Arean Abdul Hakim berusia 4 tahun 3 bulan ditinggalkan ibunya sejak berusia sebulan di rumahnya, Taman Mas, Chepor di sini.

Menurutnya, Muhammad Raykal Arean dilahirkan pada 2 Ogos 2016 di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

"Ibunya yang dikenali sebagai Azira Abdullah yang berusia 19 tahun ketika itu turut berpantang di rumah saya dan saya menjaganya termasuk menyelesaikan semua prosedur kelahiran dan dokumentasi.

"Ketika kejadian, dia telah keluar rumah dengan beri alasan untuk berjumpa kawan dan sejak itu dia terus menghilangkan diri sehingga kini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini hari ini.

Zaidah berkata, usaha menjejakinya termasuk mencari di rumah sewa rakan-rakannya di Taman Cempaka turut gagal.

"Sejak itu saya menjaga Muhammad Raykal umpama anak saya sendiri malah, enam anak saya rapat dan manjakannya.

"Usaha kali ini diharap dapat mengesan ibunya dan memudahkan urusan dengan pihak berkaitan demi masa depannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia berharap Fitri Azira dapat menghubunginya di talian 011-28642594 atau datang sendiri ke Chepor.