X

Kindly register in order to view this article
!

Ka Siong beri jaminan kepada firma teknologi mengenai pembaikan kabel dasar laut

Wee Ka Siong
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong hari ini memberi jaminan kepada syarikat gergasi teknologi Google, Facebook, Microsoft dan Malaysia Internet Exchange (MyIX) bahawa kapal asing akan dibenarkan melakukan kerja-kerja pembaikan kerosakan kabel telekomunikasi dasar laut berdasarkan syarat tertentu.

Ini termasuk apabila kapal tempatan tidak berupaya melakukan kerja-kerja tersebut atau berada terlalu jauh daripada lokasi yang memerlukan usaha pembaikan terbabit, kata beliau.

Dalam kenyataan di Facebook, Ka Siong berkata, satu sesi dialog bersama syarikat gergasi teknologi terbabit yang turut dihadiri wakil pelbagai kementerian dan agensi kerajaan bagi memberi pencerahan mengenai Dasar Kabotaj Negara telah diadakan di kementerian di Putrajaya, hari ini.

“Pihak kementerian ini telah menerangkan secara terperinci berhubung keputusan membatalkan pemberian pengecualian dasar kabotaj untuk penggunaan kapal asing bagi kerja pembaikan kerosakan kabel dasar laut sebagaimana yang diwartakan dan berkuatkuasa mulai 15 November 2020.

“Saya juga menegaskan bahawa keputusan ini bukanlah bermakna menyekat mana-mana pihak termasuk syarikat atau kapal asing, jauh sekali menolak kemasukan pelaburan asing ke dalam negara sepertimana tuduhan oleh pembangkang,” katanya.

Menurut Wee, keputusan itu sebaliknya diambil bagi memelihara kepentingan industri perkapalan negara sekaligus dapat memberi manfaat kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya, lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia berdepan pandemik koronavirus (Covid-19).

“Sudah tentu ada kapal tempatan yang berupaya melakukan kerja-kerja pembaikan kabel dasar laut. Malah, kepakaran mereka telah pun digunakan di negara seperti Indonesia, Taiwan dan Jepun. Janggal sekali jika mereka boleh buat kerja di luar negara, tetapi tidak diberi peluang untuk bekerja di perairan Malaysia,” katanya.

Selain itu, beliau turut menghargai kehadiran syarikat gergasi teknologi dan wakil-wakil kementerian serta agensi kerajaan pada sesi dialog berkenaan dan semua input serta pandangan mereka berada adalah dalam perhatiannya dan kementerian, termasuk mengambil kira kepentingan pelaburan dalam negara.

“Sesi seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang demi manfaat kedua-dua belah pihak termasuk kepentingan rakyat dan negara Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemilik-Pemilik Kapal Malaysia (MASA), Datuk Abdul Hak Md Amin berkata, susulan perbincangan mengenai peraturan kabotaj terbabit, kalangan ahli persatuan kini lebih maklum mengenai keperluan syarikat telekomunikasi di Malaysia.

"Keputusan memperketat dasar kabotaj itu akan membawa kepada pemahaman lebih jelas mengenai keperluan dan permintaan firma-firma ini. Kita kini boleh berbincang dan mencadangkan jenis kapal yang diperlukan di Malaysia.

“Ahli persatuan juga bersedia serta sanggup untuk membuat pelaburan bagi membeli lebih banyak kapal jika perlu,” katanya kepada Bernama.

Abdul Hak berkata, sebarang tindakan kelonggaran dasar terbabit akan meningkatkan penggunaan kapal asing yang boleh menjejaskan industri maritim tempatan. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!