Sokongan bersyarat ahli Parlimen UMNO penentu Belanjawan 2021

Dewan Rakyat -Foto Bernama
Dewan Rakyat -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Menjelang pengundian Belanjawan 2021 hari ini, tumpuan tentunya terarah kepada keputusan yang bakal dibuat oleh 38 orang ahli Parlimen UMNO selaku backbenchers atau penyokong kerajaan selain daripada pembangkang.

Sepanjang sesi perbahasan yang berlangsung sejak minggu lalu, jelas hujah yang dibuat kini tidak lagi memfokuskan kepada keputusan parti sebaliknya masing-masing menyatakan pandangan bersifat persendirian dengan hujah mengambil kira kepentingan dan tuntutan rakyat.

Sentimen-sentimen yang ditonjolkan itu telah meletakkan Belanjawan 2021 umpama telur di hujung tanduk untuk ditolak pada sesi pengundian nanti.

Bagaimanapun, sejauh mana sentimen ini akan diterjemahkan melalui undian, ia bergantung kepada keputusan akhir ahli-ahli Dewan Rakyat sebaik selesai mendengar semua penggulungan Belanjawan 2021.

Jika diimbas daripada awal perbahasan Belanjawan 2021, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tanpa berselindung meletakkan sokongan bersyarat dan memberi tekanan kepada kerajaan agar mengubah beberapa keputusan dalam Belanjawan 2021 sekiranya mahu ia diterima pada sesi undian nanti.

Membawa aspirasi rakyat, isu lanjutan moratorium secara pukal dan pengeluaran caruman akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara one-off sebanyak RM10,000 tanpa bersasar telah dijadikan ‘senjata’ untuk beliau menolak Belanjawan 2021 sekiranya tuntutan tersebut tidak dipenuhi.

Beberapa ahli Parlimen UMNO lain yang turut senada dengan Najib juga membayangkan keputusan untuk menolak Belanjawan 2021.

Antaranya Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menyatakan kesediaan untuk menyokong Belanjawan 2021 namun meletakkan isu lanjutan moratorium dan KWSP yang ditekankan Najib sebagai asas untuk dipertimbangkan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar menerusi rancangan bual bicara sebuah stesen televisyen menyentuh tentang sokongan akan dibuat jika berpuas hati dengan penggulungan belanjawan yang dibuat.

Najib
Najib

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan pula dilihat memberi ‘notis peringatan’ kepada Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi ciapan Twitter agar mempertimbangkan tuntutan partinya dalam isu lanjutan moratorium dan pengeluaran akaun satu KWSP.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub yakin bahawa Belanjawan 2021 akan berhadapan proses yang sukar untuk diluluskan.

Katanya, tidak mustahil sentimen yang ditonjolkan oleh ahli Parlimen UMNO dengan meletakkan sokongan secara bersyarat ini akan diterjemahkan dalam undian Belanjawan 2021 jika kerajaan gagal meminda tuntutan yang dinyatakan.

“Sudah pasti jika kerajaan bersetuju untuk memenuhi permintaan melaksanakan moratorium seperti dituntut beberapa pemimpin kanan UMNO, proses meluluskan belanjawan tiada masalah.

“Malah, ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) telah membayangkan mereka tidak akan menyokong Belanjawan 2021 ini jika tiada pindaan dilakukan segera,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik berkata, jika benar terjadi belanjawan ditolak, ia menjadi sejarah kali pertama dalam negara-negara Komanwel, belanjawan negara gagal diluluskan.

Keadaan itu katanya, menjadi isyarat kepada Perikatan Nasional (PN) untuk melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan kadar segera.

Dr Mohammad Tawfik Yaakub
Dr Mohammad Tawfik Yaakub