Jangan biar UKM FC terkubur

UKM FC memiliki reputasi tersendiri sejak membuat penampilan di pentas Liga Premier 2018. -Foto FB UKM FC
UKM FC memiliki reputasi tersendiri sejak membuat penampilan di pentas Liga Premier 2018. -Foto FB UKM FC
A
A
A

RATA-RATA pemain UKM FC telah menyatakan kesediaan untuk beraksi dalam liga amatur - Liga M3 musim depan setelah mereka tidak layak menyertai saingan Liga Premier musim 2021.

Bekas tonggak UKM FC, Asnan Ahmad berkata, masih ada dalam kalangan pemain The Varsity Boys mahu terus menabur bakti biarpun mereka masih tidak tahu mengenai hala tuju pasukan musim depan.

“Bagi pemain yang telah tamat kontrak dan masih tidak mempunyai pasukan musim depan, mereka sedia untuk bermain dengan pasukan lain. Tetapi semua itu bergantung kepada tawaran.

“Bagi pemain yang telah lama beraksi dengan UKM FC sejak Liga IPT, kemudian Liga FAM dan kini Liga Premier, besar kemungkinan mereka masih mahu beraksi dengan UKM FC walaupun dalam saingan Liga M3.

“Ini kerana mereka telah sama-sama terlibat sejak peringkat awal penubuhan pasukan. Kami sama-sama membina pasukan UKM FV dari bawah sehinggalah berjaya ke saingan Liga Premier,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan UKM FC tidak layak menyertai saingan Liga Premier musim depan ekoran kegagalan menepati syarat proses penswastaan kelab bola sepak (FC) bersyarikat.

Selain UKM FC, Felda United turut menerima nasib sama sekalipun kedua-dua pasukan itu sudah mengemukakan rayuan bagi membolehkan mereka bersaing di pentas liga profesional anjuran FAM dan MFL.

Mengulas lanjut, Asnan berharap pihak pengurusan UKM FC dapat ‘membina’ semula pasukan bagi membolehkan pemain sedia ada meneruskan karier mereka.

Artikel Berkaitan:

“Secara peribadi saya berpendapat UKM FC masih boleh bersaing secara sihat dalam arena bola sepak Malaysia. Tak kisahlah jika UKM FC terpaksa bermula dalam liga amatur seperti Liga M3.

“Walaupun tidak dapat menggunakan khidmat pemain profesional sepenuh masa kerana kedudukan kewangan yang sangat terhad, UKM FC masih boleh menggunakan khidmat pemain-pemain dari universiti ini sendiri,” jelasnya.

UKM FC yang dibimbing Sulaiman Hussin mula beraksi dalam Liga Premier 2018 selaku finalis Liga FAM 2017. Mereka mencipta sejarah tersendiri apabila muncul selaku naib juara Piala Cabaran pada musim 2018 dan 2019.