X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

Ambil iktibar Hajarul Aswad

A
A

UNDIAN belanjawan di Parlimen yang dijangka diadakan hari ini memutuskan sama ada Belanjawan 2021 ditolak atau diluluskan.

Sesungguhnya, ujian pandemik saat ini terlalu berat dan membebankan buat segenap lapisan masyarakat, malah jangkaan jangkitan koronavirus (Covid-19) empat angka sehari secara berterusan bakal menggugat kestabilan ekonomi dan sosial negara.

Sekiranya belanjawan ditolak sehingga mendorong pilihan raya umum terpaksa dilaksanakan segera, bencana yang lebih besar tidak mustahil berlaku.

Antara isu kritikal yang menjadi perdebatan hebat dalam kalangan ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengenai Belanjawan 2021 adalah dua cadangan yang dikemukakan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000 secara one-off dan lanjutan moratorium secara pukal enam bulan lagi sehingga 30 Jun 2021.

Najib sendiri telah menjelaskan bagaimana dana yang diperlukan untuk pengeluaran akaun satu KWSP maksimum RM10,000 itu adalah sekitar RM30 hingga RM40 bilion berbanding dana semasa KWSP berjumlah RM940 bilion. Katanya, memandangkan 54 peratus dana KWSP dalam bentuk instrumen pendapatan tetap seperti bon-bon kerajaan, maka Bank Negara boleh membeli balik beberapa bon atau sukuk berkadar sederhana bagi menampung keperluan itu tanpa menjejaskan pasa-ran bon.

Kedua, kerajaan boleh menaikkan kadar caruman (majikan dan pekerja) apabila Covid-19 berakhir untuk menaikkan kembali dana KWSP. Ketiga, kerajaan boleh menyediakan pelaburan berpotensi keuntungan tinggi dalam bentuk projek-projek kerajaan untuk dilaburkan KWSP bagi membolehkannya menampung kembali keuntungan.

Keempat, KWSP boleh menstruktur pembayaran dividen dalam bentuk ‘multi-layered dividend payment’ iaitu pencarum yang mempunyai penyimpanan rendah mendapat dividen yang lebih tinggi. Dalam jangka panjang, ia boleh menampung kembali dana pencarum yang dikeluarkan waktu kecemasan dan kesusahan ketika Covid-19.

Dalam isu pelanjutan moratorium pula, isu keuntungan bank-bank Malaysia menjadi perdebatan. Bagi suku ketiga 2020, keuntungan bank-bank di Malaysia sahaja dijangka naik antara 25 peratus sehingga 30 peratus lebih tinggi berbanding suku kedua walaupun moratorium secara pukal telah dilaksanakan sepanjang tempoh suku ketiga sehingga 31 September 2020.

RakyatBenar, kadar keuntungan yang dicatat bank kita telah merosot sekitar RM6 bilion akibat moratorium pinjaman pukal tempoh hari, namun tidaklah sampai mereka mencatatkan kerugian.

Hakikatnya, Belanjawan 2021 turut menitikberatkan isu pendapatan rakyat. Contoh kritikal adalah seperti Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (Jana-Kerja). Kerajaan PN menyasarkan untuk mewujudkan 500,000 peluang peker-jaan baharu termasuk pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula dengan perbelanjaan sebanyak RM3.7 bilion.

Seperti jangkaan Kementerian Kewangan, jika Belanjawan 2021 diluluskan dan dilaksanakan, insya-ALLAH kita dapat menambah pekerjaan, sumber pendapatan dan merangsang ekonomi setinggi empat peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagi menyelesaikan kemelut pendirian tentang Belanjawan 2021, peristiwa peletakan batu Hajarul Aswad selepas Makkah dilanda banjir besar dahulu wajar direnungi bersama oleh seluruh pemimpin. Ketika itu, ketua puak Arab saling berebut untuk meletakkan batu Hajarul Aswad kembali ke Kaabah.

Rasulullah SAW membuktikan kepimpinan baginda dengan bertindak membentangkan kain dan meletakkan Hajarul Aswad di tengah-tengah kain tersebut dan kemudiannya meminta wakil setiap kabilah memegang penjuru kain, lalu mengangkatnya bersama-sama ke sisi kaabah.

Setelah itu, baginda mengangkat dan meletakkan Hajarul Aswad di tempat asalnya sekali gus mengelak berlakunya peperangan. Sama-sama kita mendoakan semoga ALLAH SWT mempermudahkan segala urusan pengundian Belanjawan 2021 demi kestabilan politik, ekonomi, sosial dan kesihatan negara.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!