Covid-19: Jawatankuasa nilai permohonan pendekkan kuarantin

Dr Noor Hisham (kiri) bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham (kiri) bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jawatankuasa Khas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat penilaian risiko terhadap permohonan untuk memendekkan tempoh kuarantin selama 14 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setiap permohonan tersebut mestilah disertakan dengan alasan munasabah.

"Kita ada juga memberi pertimbangan untuk memendekkan tempoh contohnya hari ke-12 dan ke-13 berikutan ada yang perlu menduduki peperiksaan atau urusan pernikahan," katanya.

Menurutnya, ujian kedua yang sepatutnya dibuat pada hari ke-13 akan diawalkan kepada hari ke-11 atau 12.

"Antibodi Immunoglobulin M (IgM) hanya akan muncul dalam tubuh pesakit pada hari kelima manakala Immunoglobulin G (IgG) pada hari ketujuh dan jika ia tidak dikesan pada hari ke-12, ia juga tidak akan dikesan pada hari ke-13," katanya.

Menurutnya, selain keputusan ujian saringan kedua yang negatif, KKM juga melihat risiko pemohon.

"Sekiranya dia tidak berisiko tinggi dan juga tidak mempunyai gejala, kita akan pertimbangkan," katanya pada sidang media perkembangan terkini koronavirus (Covid-19) di kementeriannya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pertimbangan itu boleh dibuat mengikut Seksyen 15(1) Akta 342.

Artikel Berkaitan:

"Seksyen ini menyebut seorang pegawai diberi kuasa boleh memerintah supaya mana-mana kontak menjalani pemerhatian di mana-mana tempat bagi apa-apa tempoh yang difikirkan patut atau menjalani pengawasan sehingga dia boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang lain," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, jika KKM tidak menerima sebarang permohonan, individu terbabit masih perlu meneruskan kuarantin selama 14 hari seperti ditetapkan kementerian itu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kriteria KKM bagi membolehkan individu diberi kebenaran untuk memendekkan tempoh kuarantin.

Baru-baru ini, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya menolak permohonan memendekkan kuarantin bagi individu yang pulang dari Sabah kerana 17 peratus kes dilapor positif pada hari ke 13.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, KKM akan menilai semua tindakan kesihatan awam terhadap Sabah selepas kes di negeri itu menunjukkan perkembangan positif.

"Kes di Sabah menunjukkan penurunan sekitar 300 kes manakala Selangor dan Negeri Sembilan pula menjadi zon merah," katanya.

Menurut beliau, sehingga kini, tiada saringan dan perintah kuarantin dilaksanakan terhadap individu yang keluar dari kedua-dua negeri itu.

"Sabah adalah sebuah negeri, ia bukan sebuah negara," katanya.