Ibu model saman KPN, kerajaan gagal siasat kes kematian anak

model ivana
model ivana
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ibu model rakyat Belanda, Ivana Esther Robert Smit, memfailkan saman terhadap polis, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia yang didakwa melanggar kewajipan statutori dan melakukan kecuaian dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya tiga tahun lalu.

Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, 56, memfailkan saman itu melalui firma guaman S N Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam dan menamakan Ketua Polis Negara; Pegawai Penyiasat Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Superintenden Faizal Abdullah; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Penyataan tuntutan Verstappen menyebut anak gadisnya yang berusia 18 tahun ditemukan mati di tingkat enam kondominium CapSquare Residence di Kuala Lumpur selepas terjatuh dari unit kondominium milik pasangan Amerika Alex Johnson dan Luna Almazkyzy yang terletak di tingkat 20 pada 7 Disember 2017.

Verstappen berkata, pada hari kejadian, beliau berada di Belanda dan selepas dimaklumkan mengenai kematian anaknya, dia segera berlepas ke Kuala Lumpur.

Sejurus tiba di Malaysia pada 9 Disember 2017, beliau diminta oleh defendan untuk membuat pengecaman mayat anaknya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dimaklumkan bahawa jasad mangsa ditemukan dalam keadaan bogel di balkoni tingkat enam kondominium dan memberitahu gadis itu membunuh diri.

Beliau berkata, defendan membuka kertas siasatan di bawah laporan kematian mengejut (SDR) pada 7 Disember 2017 dan merumuskan kes itu sebagai mati mengejut atau bunuh diri.

Menurutnya, dia tidak boleh menerima rumusan itu kerana perkara tersebut amat sukar dipercayai dan terkejut dengan tindakan defendan yang hanya membuka kertas siasatan di bawah SDR, oleh itu mendakwa tindakan defendan adalah perlanggaran jelas prosedur operasi standard dan amalan terbaik dalam siasatan polis.

"Saya juga amat terganggu dengan tindakan defendan yang membuat rumusan pramatang sedemikian berhubung kematian anak saya dan tidak membuka minda mereka untuk menimbangkan kes itu dari sudut lain termasuk jenayah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Plaintif berkata, Pejabat Peguam Negara kemudian mengarahkan satu inkues dijalankan bagi menentukan punca kematian anaknya dan pada 8 Mac 2019, Koroner Mahyon Talib memutuskan kes itu sebagai satu ‘insiden malang.’

"Tidak berpuas hati dengan keputusan Yang Arif Koroner, saya kemudian mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan pada 22 November 2019, Yang Arif Hakim Collin Lawrence Sequerah megenepikan keputusan Mahkamah Koroner serta menggantikannya dengan ‘kematian yang disebabkan oleh seorang individu atau beberapa individu tidak dikenali’ dan memerintahkan Peguam Negara mengarahkan Polis Diraja Malaysia memulakan siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kematian model warga Belgium disebabkan nahas

Verstappen mendakwa defendan gagal atau cuai dalam menjalankan kewajipan statutori mereka secara sengaja atau sebaliknya dan melanggar kewajipan statutori mereka terhadap mangsa dan plaintif.

Dia mendakwa polis melakukan kecuaian apabila gagal menutup lokasi kejadian, menyita barangan peribadi mangsa, mengumpul bukti serta gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap Johnson dan Almazkyzy.

“Defendan juga gagal menahan, mengekstradisi dan memastikan kedua-duanya hadir semasa prosiding inkues sebagai saksi utama. Polis juga gagal menyiasat semula kes itu dengan rasional seperti yang diarahkan Mahkamah Tinggi,” katanya.

Oleh itu, plaintif menuntut perintah mandamus supaya defendan pertama iaitu Ketua Polis Negara menyingkirkan defendan kedua (Faizal) daripada pasukan yang menyiasat kes tersebut serta satu lagi perintah mandamus untuk membuka semula siasatan kes itu.

Verstappen juga menuntut Ketua Polis Negara, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan kerajaan mengeluarkan waran tangkap serta ekstradisi terhadap Johnson dan Almazkyzy untuk soal siasat lanjut dan kemungkinan pendakwaan selain ganti rugi am, teruk dan teladan.

Dalam pada itu, Nair yang mewakili Verstappen pula memaklumkan pemberita bahawa writ saman diserahkan kepada semua defendan hari ini dan pengurusan kes ditetapkan pada 27 November ini melalui sistem e-review di hadapan Timbalan Pendaftar Maslinda Selamat. - Bernama