ECRL: Gabung kepakaran China, kontraktor tempatan

Mohd Aizuddin Ariffin
Mohd Aizuddin Ariffin
A
A
A

ALOR SETAR - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak seharusnya menjadi polemik yang boleh mencalarkan pentadbiran kerajaan sebaliknya keputusan berhubung pelaksanaan projek itu harus dimuktamadkan secara bijaksana.

Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Mohd Aizuddin Ariffin berkata, sekiranya kerajaan mahu meneruskan ECRL, ia boleh dilaksanakan tanpa pembabitan 100 peratus negara China bagi menjimatkan kos dengan mewujudkan kaedah tender terbuka kalangan kontraktor tempatan.

“Pada masa sama, kerajaan harus realistik mewujudkan situasi menang-menang bersama China melalui ECRL susulan komitmen ditunjukkan syarikat itu sebelum ini, bagi memelihara hubungan diplomatik.

“Negara kita diyakini memiliki kepakaran tempatan mencukupi dalam rel industri untuk menjayakan ECRL, projek itu mampu direalisasi tanpa kebergantungan sepenuhnya kepada syarikat dari China,” katanya.

Mohd Aizuddin yang juga Ketua AMK Alor Setar berkata, sekiranya kekangan kewangan negara menjadi halangan, projek itu boleh dilaksanakan secara berfasa dengan mewujudkan beberapa pakej termasuk pembahagian pakej antara China dan kontraktor tempatan.

“Kita mempunyai kepakaran dalam rel industri dan saya percaya dengan kemampuan rakyat tempatan selain kolaborasi teknologi serta kepakaran luar, kos pembinaan akan menjadi jauh lebih murah daripada RM81 bilion,” katanya.

“Pelaksanaan ECRL perlu dipertimbangkan kerana selari dengan aspirasi kerajaan mewujudkan satu juta peluang pekerjaan seperti termaktub dalam manifesto PH pada PRU14,” katanya.

Menurutnya, yang penting adalah pemindahan teknologi dan pengetahuan melalui pelaksanaan ECRL dapat dimanfaatkan oleh rakyat khususnya negeri di Pantai Timur.

Artikel Berkaitan:

“Kelantan, Pahang dan Terengganu juga wajar menikmati kepesatan pembangunan malah limpahan ekonomi negara juga harus dirasai negeri itu bagi mengelak mereka ketinggalan,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa keputusan penamatan projek ECRL diterajui China Communications Construction Group Ltd (CCCC) belum muktamad.

Ia berikutan wujudnya beberapa perubahan terhadap perkembangan projek dengan jajaran sepanjang 688.3km sekali gus memerlukan rundingan lanjut membabitkan pihak berkaitan.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dilaporkan berkata, projek ECRL ditamatkan menerusi mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 Januari lalu.

Susulan itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menegaskan pendirian muktamad kerajaan berhubung status projek terbabit akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.