Profesor Taiwan dijel 4 tahun kerana mengintip China

Shih Cheng-ping yang juga seorang profesor Taiwan dijel empat tahun oleh sebuah mahkamah di China kerana kesalahan mengintip untuk pihak berkuasa China . - Foto Facebook/Shih Cheng-ping
Shih Cheng-ping yang juga seorang profesor Taiwan dijel empat tahun oleh sebuah mahkamah di China kerana kesalahan mengintip untuk pihak berkuasa China . - Foto Facebook/Shih Cheng-ping
A
A
A

BEIJING - China menjatuhkan hukuman penjara selama empat tahun ke atas seorang profesor Taiwan, Shih Cheng-ping selepas dia didapati bersalah kerana melakukan intipan di negara itu, kata seorang pegawai hari ini.

Jurucakap Pejabat Hal Ehwal Luar Taiwan, Zhu Fenglian berkata, sebuah mahkamah di wilayah Anhui menjatuhkan hukuman itu ke atas Cheng-ping sebulan selepas dia membuat pengakuan melakukan intipan menerusi televisyen di sebuah stesen penyiaran kerajaan.

Cheng-ping yang juga bekas ketua ekonomi untuk syarikat konglomerat China, Kumpulan Huaxia kemudian didapati bersalah di mahkamah tersebut semalam, kata Pejabat Hal Ehwal Luar Taiwan di Beijing selepas satu sidang akhbar diadakan.

Dia didapati hilang selepas berkunjung ke Tanah Besar China pada Ogos 2018.

Cheng-ping seorang daripada beberapa penduduk Taiwan yang muncul dalam satu program televisyen terbitan stesen penyiaran China, CCTV pada Oktober lalu dan mengaku melakukan intipan di Tanah Besar China.

Stesen televisyen itu kerap menyiarkan temu ramah dengan para suspek yang mengaku melakukan jenayah, malah ada ketika sebelum mereka dihadapkan ke mahkamah.

Ia merupakan satu amalan yang dikritik oleh para peguam dan pertubuhan hak asasi manusia kerana ia kelihatan seperti memaksa para suspek membuat pengakuan melakukan jenayah.

Dalam temu ramah itu, Cheng-ping mengaku dia menyerahkan maklumat dari sebuah badan pemikir di Tanah Besar China kepada pihak berkuasa Taiwan sebagai pertukaran untuk mendapatkan wang.

Artikel Berkaitan:

Menerusi temu ramah itu, dia juga berharap bahawa pengalamannya itu akan digunakan sebagai 'amaran' dan peringatan kepada orang lain di Taiwan.

Taiwan sebelum ini menganggap ia sebagai sebuah negara yang merdeka tetapi China pula melihatnya sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

Ketegangan hubungan antara Beijing dan Taipei meningkat dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

Jet-jet pejuang China dan pesawat pengebom telah memasuki zon pertahanan udara Taiwan dengan kerap sejak beberapa bulan lalu manakala jualan senjata oleh Amerika Syarikat (AS) kepada Taipei mencetuskan kemarahan Beijing.

Sekurang-kurangnya dua lagi individu Taiwan kini ditahan kerana disyaki menimbulkan ancaman keselamatan di China iaitu seorang ahli cendekiawan, Tsai Chin-shu dan aktivis demokrasi, Lee Meng-chu. - AFP