Op Tiru: Premis jual baju tidur tiruan diserbu

Norazah (dua dari kanan) menunjukkan baju tidur tiruan pelbagai jenama yang dirampas di sebuah premis di Perlis semalam.
Norazah (dua dari kanan) menunjukkan baju tidur tiruan pelbagai jenama yang dirampas di sebuah premis di Perlis semalam.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Seorang pemborong baju tidur tiruan berputih mata selepas premisnya diserbu sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis dalam Op Tiru di Arau Perlis kelmarin.

Pengarahnya, Norazah Jaapar berkata, serbuan dilakukan pada jam 10.30 pagi di Taman Enyum selepas pihaknya menerima laporan daripada wakil cap dagang berdaftar.

Menurutnya, ketika serbuan, terdapat empat wanita berusia lingkungan 20-an dalam premis berkenaan yang mana salah seorang daripadanya merupakan pemilik perniagaan terbabit.

"Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah 3,180 pakaian pelbagai jenama yang disyaki menggunakan cap dagang berdaftar yang salah.

"Kesemua baju berkenaan disita dan jumlah rampasan dianggarkan berjumlah RM95,400," katanya pada sidang media di Stor Ekshibit KPDNHEP di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati premis perniagaan terbabit dijadikan sebagai pusat pengumpulan, pembungkusan dan pengedaran pakaian pelbagai jenama serta telah beroperasi hampir setahun.

"Semua stok baju ini diperoleh secara pukal dari Vietnam sebelum diedarkan kepada stokis dan ejen di seluruh negara dengan modal minimum bernilai RM3,000.

"Kita juga mendapati pakaian ini dijual secara dalam talian termasuk menerusi siaran langsung di Facebook untuk menarik minat pembeli dengan menawarkan harga yang murah iaitu antara RM25 hingga RM35," katanya.

Artikel Berkaitan:

Norazah berkata, KPDNHEP merakam percakapan pemilik perniagaan berkenaan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

"KPDNHEP Perlis memberi amaran kepada peniaga supaya tidak menjual barangan yang suatu cap dagang berdaftar dipakaikan dengan salah.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyimpanan dan penjualan barang tiruan disarankan melaporkan kegiatan ini melalui hotline 1-800-886-800, WhatsApp di 019-2794317 atau 03-88826088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau hadir sendiri pejabat KPDNHEP berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil," katanya.