MAFI komited siapkan projek pembangunan dirancang

Datuk Seri Ahmad Hamzah - Foto Bernama
Datuk Seri Ahmad Hamzah - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sentiasa komited memastikan setiap rancangan pembangunan dapat disiapkan seperti dirancang.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, akan tetapi pihak MAFI menghadapi beberapa kekangan di luar bidang kuasa yang menyebabkan kelewatan sesuatu projek pembangunan.

Menurutnya, antaranya ialah pandemik koronavirus (Covid-19), faktor cuaca, perubahan rekabentuk bagi menyesuaikan keadaan di tapak dan faktor aktiviti pertanian yang sedang dijalankan.

"Bagaimanapun pihak MAFI akan membuat pemantauan secara berterusan terhadap projek ini dan pelan pemulihan (recovery plan) yang dicadangkan oleh pihak kontraktor perlu dipatuhi.

"Sekiranya pihak kontraktor masih gagal menyiapkan kerja dalam tempoh lanjutan kontrak telah diluluskan tanpa alasan kukuh, MAFI akan meneliti dan tidak teragak-agak untuk mengenakan denda ganti rugi atau mana-mana tindakan boleh diambil berdasarkan syarat-syarat kontrak," katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) mengenai status Projek Pengairan IADA Sungai Manik dan pelan komunikasi itu untuk menyiapkan projek pengairan tersebut.

Ahmad berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-11, MAFI telah, sedang dan akan melaksanakan beberapa projek menaiktaraf sistem pengairan dan saliran di Skim Pengairan Sungai Manik.

Menurutnya, projek siap adalah kerja-kerja menaiktaraf sistem tersier tali air 3B serta kerja-kerja berkaitan di skim pengairan Sungai Manik, IADA Seberang Perak dengan kos sebanyak RM6.3 juta.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, satu lagi projek yang telah disiapkan ialah menaiktaraf sistem saliran pengairan Sungai Manik fasa 1 di Hilir Perak dengan kos sebanyak RM 1.66 juta.

"Terdapat dua projek sedang dilaksanakan adalah projek menaiktaraf tali air kedua di tali air 1, 2, 3, 4 dan 5 di skim pengairan Sungai Manik di Hilir Perak dengan kos RM29.65 juta yang melibatkan kerja-kerja menaiktaraf tali air kedua sepanjang 25.0 kilometer.

"Kedua kerja-kerja menaik taraf tali air tersier di skim pengairan Sungai Manik, IADA Seberang Perak, Perak dengan kos RM8.16 juta sepanjang 13.0 kilometer," katanya.