X

Kindly register in order to view this article
!

Gadis nekad terjun sungai kerana tertekan

Gadis 15 tahun bertindak nekad terjun dari jambatan paip ke Sungai Sembulan, Kota Kinabalu.
A
A

KOTA KINABALU - Akibat tertekan dengan masalah keluarga, seorang remaja perempuan bertindak nekad terjun ke dalam Sungai Sembulan di sini tengah hari tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, gadis berusia 15 tahun terbabit sempat diselamatkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bersiap sedia di tebing sungai.

Difahamkan, sebelum kejadian, gadis itu berdiri di sebuah jambatan paip sebelum disedari orang ramai bahawa dia cuba terjun ke sungai berkenaan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Jamaludin Hussin berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan jam 1.46 tengah hari.

"Seramai 15 anggota dan pegawai bersama sebuah jentera, sebuah EMRS dan dua kenderaan utiliti dikerah ke lokasi kejadian.

"Selepas hampir lima minit memujuk, gadis itu bertindak terjun ke sungai menyebabkan pasukan bomba yang sudah bersiap sedia di sungai terus bertindak menyelamatkannya," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, gadis itu kemudian dibawa ke tebing sungai sebelum ditenangkan dan diberi rawatan awal oleh pasukan ERMS.

"Gadis itu kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) dengan kebenaran pasukan polis untuk pemeriksaan lanjut.

"Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 2.23 petang," katanya.

Katanya, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu turut berada di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!